PPM tahan lelaki, rampas kayu diipercayai dicuri

Gambar hiasan
A
A

SEMPORNA - Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menahan dua lelaki tempatan dan merampas sebuah bot mengandungi 20 batang kayu bergergaji dalam Op Bersepadu bagi membanteras aktiviti mencuri kayu di Hutan Simpan Pulau Timbun Mata, dekat sini, hari ini.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata suspek berusia 46 dan 55 tahun itu ditahan ketika anggotanya menjalankan operasi tersebut di kawasan berkenaan kira-kira 3.30 pagi tadi.

"Sewaktu ditahan bot dinaiki dua suspek berkenaan mengandungi muatan 20 batang kayu bergergaji dipercayai dicuri dari hutan simpan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kedua-dua lelaki terbabit serta kesemua barang rampasan ditunda ke jeti markas operasi PPM Semporna untuk siasatan lanjut di bawah Enakmen Perhutanan 1968 kerana mencuri kayu di kawasan hutan simpan. - Bernama