76 kampit pelbagai jenama benih padi dirampas

Benih padi sah varieti MR 220 CL 2 keluaran MADACorp yang dipalsukan pihak tidak bertanggungjawab.
Benih padi sah varieti MR 220 CL 2 keluaran MADACorp yang dipalsukan pihak tidak bertanggungjawab.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak 76 kampit pelbagai jenama benih padi dirampas dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Jalan Sanglang, Jitra, pada Rabu.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn Bhd (MADACorp), Mohamad Anuar Pir Mohamad berkata, serbuan oleh pasukan pegawai penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kedah itu turut mengesan empat kampit daripada keseluruhan rampasan itu menggunakan label keluaran MADACorp.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati benih padi tersebut dipercayai benih padi yang palsu.

“Butiran cetakan di tag biru (kod kawalan) yang dikepilkan adalah palsu, kesahihan isi kandungan beg itu juga diragui. Ini kerana nombor siri pada tag biru benih padi palsu yang dirampas itu menggunakan nombor siri yang tidak diperuntukkan kepada MADACorp untuk tahun 2021,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Mohamad Anuar
Mohamad Anuar

Mohamad Anuar berkata, sehubungan itu, pihaknya telah membuat satu laporan di Balai Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada Sabtu agar tindakan undang-undang dapat diambil terhadap pemilik premis berkenaan.

“Saya harap petani berhati-hati apabila hendak membeli benih padi bagi penanaman musim ini. Perbuatan dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu dipercayai mahu mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan atas permintaan tinggi benih padi berkualiti keluaran MADACorp,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, bermula tahun ini, benih padi sah hanya dibekalkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) untuk edaran kepada petani melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Artikel Berkaitan:

“Tiada urus niaga jualan benih padi secara terus dilakukan selain daripada Nafas,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya turut berterima kasih kepada pemberi maklumat dan petani yang menyalurkan maklumat sehingga berjaya mengesan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.