Galak zakat melalui potongan gaji

Syed Ali
Syed Ali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menggalakkan majikan menyarankan pekerja Islam membayar zakat pendapatan melalui potongan gaji mereka.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee berkata, tiada alasan untuk tidak membayar zakat pendapatan kerana kadar yang dikenakan sangat rendah, iaitu sebanyak 2.5 peratus daripada pendapatan bulanan.

“PPZ-MAIWP menyasarkan jumlah kutipan zakat sebanyak RM800 juta di Wilayah Persekutuan pada tahun ini termasuklah RM120 juta melibatkan zakat fitrah dan zakat harta di bulan Ramadan.

“Setakat ini, kami mempunyai hampir 300,000 pembayar zakat di Wilayah Persekutuan. Pada tahun ini, kami menjangkakan sebanyak 500,000 pembayar zakat di sini,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Syed Ali berkata, PPZ-MAIWP mampu mencapai sasaran tersebut sekiranya semua rakyat yang bekerja di Wilayah Persekutuan membuat potongan gaji zakat mereka di PPZ-MAIWP.

“Kadar yang dikenakan untuk membayar zakat pendapatan sebanyak 2.5 peratus sahaja. Kalau yang belum mulakan membayar zakat, mereka boleh mulakannya pada Ramadan ini,” katanya.

Syed Ali berkata, walaupun kutipan zakat pada tahun lalu menunjukkan peningkatan biarpun pandemik Covid-19 melanda negara namun kenaikan tersebut masih perlu ditingkatkan dengan memberikan kesedaran kepada majikan syarikat-syarikat besar di Wilayah Persekutuan untuk membayar zakat.

“PPZ-MAIWP sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memudahkan masyarakat membayar zakat melalui pelbagai cara seperti bayaran di kaunter, bayaran secara atas talian (online), aplikasi e-dompet, dan perkhidmatan pintu ke pintu.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat segelintir majikan tidak mahu mengambil inisiatif membayar zakat tetapi mencadangkan kepada pekerja mereka sahaja untuk berbuat demikian.

“Saya pernah menghantar surat kepada mereka berkenaan pembayaran zakat tetapi tiada yang memberi respon. Sebagai seorang Muslim, mereka perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik.

“Kami menyediakan pelbagai inisiatif dan platform untuk memudahkan masyarakat membayar zakat, jadi mereka tidak ada alasan untuk berbuat demikian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Syed Ali turut menasihatkan mereka yang bekerja di Wilayah Persekutuan untuk membayar zakat di negeri itu kerana ia merupakan tempat mencari rezeki dan lebih afdal.

Katanya, pihaknya mempunyai tanggungjawab yang besar untuk membantu golongan asnaf dan B40 di negeri itu dan membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Tanggungjawab untuk membantu golongan tersebut adalah bergantung kepada Baitulmal untuk merancang agihan kutipan wang zakat kepada kumpulan terbabit.

“Apabila ramai yang membayar zakat, kita dapat membantu golongan asnaf dan mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

“Zakat ini membawa barakah kepada pembayarnya kerana pulangannya bukan sahaja dari segi kewangan tetapi mungkin dalam bentuk kesihatan yang berpanjangan dan sebagainya.

“Rebutlah keberkatan dalam bulan yang mulia ini untuk mula membayar zakat,” katanya.