Tiga senjata ajaib basmi kemiskinan

China telah menyelesaikan misi membasmi kemiskinan mutlak dan sekali gus mencipta keajaiban dalam sejarah umat manusia.
China telah menyelesaikan misi membasmi kemiskinan mutlak dan sekali gus mencipta keajaiban dalam sejarah umat manusia.
A
A
A

BAGAIMANA China basmi kemiskinan? Sejak saya menyandang jawatan Duta Besar, soalan ini paling kerap ditanya oleh rakan-rakan di Malaysia.

Pada Februari lalu, Presiden China, Xi Jinping mengumumkan bahawa menjelang ulang tahun ke-100 penubuhan Parti Komunis China (CPC), perjuangan membasmi kemiskinan telah mencapai kejayaan secara komprehensif kerana usaha bersama seluruh rakyat.

Baru-baru ini, China telah mengeluarkan kertas putih berjudul ‘Poverty Alleviation: China’s Experience and Contribution’ untuk memperkenalkan pengalaman dan sumbangan China dalam membasmi kemiskinan.

Pencapaian ini mengutamakan kepentingan rakyat. Menurut standard yang wujud, seramai 98.99 juta penduduk di kawasan luar bandar, 832 daerah miskin dan 128,000 kampung miskin semua berjaya keluar daripada kemiskinan.

Bermakna kemiskinan serantau secara keseluruhan telah dihapuskan.

Dalam lapan tahun lalu, hampir 100 juta penduduk miskin di negara ini berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan secara purata setiap tahun.

Angka ini hampir sama dengan populasi sebuah negara sederhana.

Selain jaminan makanan dan pakaian yang mencukupi, jaminan akses kepada pendidikan wajib, perkhidmatan perubatan asas, keselamatan perumahan dan air minum untuk penduduk luar bandar yang miskin sudah ditunaikan.

Artikel Berkaitan:

Terdapat lebih daripada 20 juta pesakit miskin diberi rawatan mengikuti kategori penyakit masing-masing, manakala hampir 20 juta warga miskin dapat menikmati elaun sara hidup dan bantuan khas.

Selain itu, terdapat lebih daripada 24 juta orang kelainan upaya telah menerima elaun sara hidup dan subsidi rawatan.

Pencapaian ini memanfaatkan generasi kini dan akan datang. Pembangunan pesat dialami di kawasan kurang maju.

Setakat kini, lebuh raya sepanjang 1.1 juta km dibina semula, landasan kereta api yang baharu sepanjang 35,000 km dibina.

Lebih daripada 99 peratus kawasan luar bandar dapat menikmati bekalan elektrik yang stabil; 98 peratus kampung miskin mempunyai akses kepada komunikasi gentian optik (OFC) dan teknologi 4G; pendidikan jarak jauh ditawarkan di lebih banyak sekolah di kawasan miskin; teleperubatan dan e-dagang meliputi semua daerah miskin.

Rumah usang yang didiami 25.68 juta orang miskin daripada 7.9 juta isi rumah telah diubahsuai.

Sebanyak 35,000 komuniti penempatan dan 2.66 juta unit rumah dibina untuk penempatan semula isi rumah yang miskin.

Lebih daripada 9.6 juta orang miskin yang ditempatkan semula telah berpindah ke rumah baharu dan keluar daripada kemiskinan.

Pencapaian ini menguntungkan seluruh dunia. Sejak pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka di China, lebih daripada 770 juta penduduk luar bandar yang hidup di bawah garis kemiskinan semasa telah keluar daripada belenggu kemiskinan.

Jumlah ini mewakili 70 peratus daripada jumlah pengurangan kemiskinan di seluruh dunia dalam tempoh yang sama.

Walaupun dunia masih berada dalam awam gelap pandemik Covid-19, China mencapai sasaran pengurangan kemiskinan yang ditetapkan dalam Agenda Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan 10 tahun lebih awal.

Hal ini memberi harapan dan galakan kepada dunia. Sebagai negara membangun yang paling besar di dunia, China telah menerokai perjalanan pembasmian kemiskinan yang mempunyai ciri-ciri China berdasarkan penilaian keadaan yang realistik.

Pengalaman China ini boleh dikongsi bersama oleh negara-negara membangun lain dalam usaha pembasmian kemiskinan.

Sepanjang sejarah beribu-ribu tahun, rakyat China tidak berhenti-henti dalam perjuangan membasmi kemiskinan. Kini impian menjadi kenyataan.

Pada saya, China dapat mencapai keajaiban pembasmian kemiskinan ini dengan 'tiga senjata ajaib'.

Yang pertama, konsep pemerintahan berkhidmat untuk rakyat. Seperti dikatakan Presiden Xi Jinping, rakyat berhasrat untuk menikmati kehidupan yang baik, inilah matlamat kami berusaha. Pembasmian kemiskinan merupakan perjuangan demi kemakmuran dan kebahagiaan rakyat.

Bagi menunaikan janji ‘tiada satu kawasan atau seorang pun ditinggalkan’, pegawai-pegawai awam berusaha bersama dengan rakyat untuk membasmi kemiskinan dan mencapai kemakmuran.

Seramai tiga juta pegawai di seluruh negara telah dihantar untuk menjalankan misi pembasmian kemiskinan bersama jutaan pegawai akar umbi.

Mereka telah mencurahkan sepenuh usaha demi kebahagiaan rakyat di kawasan kurang maju.

Kedua, kelebihan sistem dalam penyelarasan. China merancang dan menjalankan misi pembasmian kemiskinan di bawah kepimpinan CPC yang disatukan dan terpusat. Dengan kelebihan sistem sosialis, iaitu keupayaan mengumpul sumber untuk usaha utama, China telah menggembleng pelbagai kuasa untuk melibatkan diri dalam pembasmian kemiskinan.

Kerajaan pusat memainkan peranan sebagai penyelaras, kerajaan provinsi menanggung tanggungjawab penuh, manakala kerajaan bandar dan daerah menyelia pelaksanaan kerja.

Dengan kerjasama antara kawasan timur dan barat, menggalakkan pelbagai industri menawarkan bantuan dengan kelebihan masing-masing, serta syarikat-syarikat dan individu melibatkan diri dalam pembasmian kemiskinan, usaha ini disertai oleh segala lapisan dari pelbagai kawasan, sektor dan industri.

Ketiga, mekanisme berinovatif dalam membasmi kemiskinan. China menegaskan perlu ada pendekatan yang praktikal dan realistik melalui tindakan khusus.

Menerusi cadangan dan pelaksanaan strategi bersasaran tepat, China menjalankan ‘usaha bersasaran dalam enam bidang’, iaitu menilai golongan dibantu, mengatur program bantuan, menggunakan dana, mengambil tindakan berdasarkan keperluan setiap rumah tangga, menghantar pegawai berdasarkan keadaan setempat dan mencapai matlamat ditetapkan.

Hal ini telah meningkat ketepatan dan keberkesanan pembasmian kemiskinan.

Di samping itu, China menggalakkan golongan miskin untuk membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan, memperkasakan keupayaan pembangunan diri, agar kitaran kemiskinan tidak berulang.

Kini, isu kemiskinan masih satu cabaran genting, pembasmian kemiskinan dianggap sebagai masalah utama dalam tadbir urus global.

Pengamalan China dalam pembasmian kemiskinan dan tadbir urus mempunyai ciri-ciri sendiri, dan juga membawa kepentingan kepada dunia.

Praktik China memadai untuk membuktikan bahawa kemiskinan bukan sesuatu yang ditakdirkan, tidak mustahil ia diatasi.

China akan terus melaksanakan kerjasama antarabangsa dengan PBB, negara-negara membangun dan pihak yang lain untuk membasmi kemiskinan, di samping mempromosikan kerjasama berkualiti tinggi di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) supaya rakyat setiap negara dapat berkongsi hasil pembangunan, bersama-sama membina satu komuniti dengan masa depan dikongsi, di mana kemiskinan dibasmi dan pembangunan dinikmati segala manusia.

Perjalanan masih jauh, hanya dengan berusaha baru kita dapat melangkah ke hadapan. Tahun ini, China memulakan ‘Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-14’, manakala Malaysia dalam proses merangka Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang akan menjelaskan hala tuju untuk memulihkan ekonomi dan mengembangkan negara.

Dengan keperluan pembangunan yang selaras, China dan Malaysia ibarat sepasang rakan yang serasi. China sanggup bekerjasama dengan Malaysia dalam menghadapi risiko dan cabaran, berkongsi pengalaman pembangunan dan faedah pembangunan, serta memacu kerjasama yang saling menguntungkan ke tahap baharu.

Saya percaya, selagi kita bersatu padu dan rajin berusaha, pasti kita akan mencipta lebih banyak keajaiban pembangunan dan membina hari esok lebih indah.

* Ouyang Yujing ialah Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia