X

Kindly register in order to view this article
!

Vaksin: Manfaat atau mudarat?

A
A

PROGRAM imunisasi Covid-19 untuk golongan warga emas, kumpulan berisiko tinggi, OKU dan pesakit kronik sudah bermula.

Pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera hanya mencapai 68.5 peratus daripada 9.4 juta penerima yang disasarkan untuk menerima suntikan pelalian fasa kedua. Masih ramai yang takut dan ragu-ragu.

Beberapa sahabat menghubungi saya. Mereka kata ibu bapa mereka sudah sangat berusia; ada yang 70-an, ada yang 80-an, dan mereka tidak ke mana-mana, hanya tinggal di rumah sahaja.

Adakah perlu ibu bapa mereka mendapatkan vaksin Covid-19? Mereka bimbang kerana terdapat banyak maklumat di luar sana yang mengatakan vaksin Covid-19 sangat berbahaya dan boleh menyebabkan kematian.

Saya tanya mereka kembali: mana yang lebih berbahaya, jika ibu bapa mereka mendapat jangkitan Covid-19 atau mengalami risiko kesan berat daripada vaksinnya?

Kedua-duanya mempunyai risiko. Risiko mana yang lebih besar? Mana yang lebih mendatangkan mudarat? Akhirnya mereka bersetuju dengan saya.

Setakat Ahad, kes positif adalah sebanyak 415,012 (345 di ICU dan 175 memerlukan bantuan alat pernafasan) dengan 1,533 kematian jika dibandingkan dengan 1.45 juta dos vaksin yang diberikan di mana 555,288 telah lengkap dua dos vaksinasi.

Kematian yang dikaitkan dengan vaksin melibatkan beberapa individu sahaja.

Itu pun setelah bedah siasat, ada yang didapati kematiannya disebabkan oleh sakit jantung misalnya, walaupun sebelum ini dikatakan tidak pernah ada masalah kesihatan.

Statistik kematian akibat Covid-19 menunjukkan bukan semuanya warga emas atau mereka yang mempunyai sakit kronik.

Ada juga yang muda, 30-an dan 40-an, dan tidak pernah mempunyai apa-apa sakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.

Mereka juga mempunyai risiko tinggi sehingga perlu mendapatkan rawatan di ICU, walaupun bukan individu berisiko tinggi. Apatah lagi golongan warga emas.

Jika dilihat kes terkumpul positif Covid-19 negara kita untuk setiap sejuta penduduk, graf kita mendahului India. Malah, Filipina dan Indonesia juga di bawah kita.

Keadaan di India sekarang memang amat teruk. Ramai pesakit yang mati ketika menunggu terlalu lama di luar hospital, sehingga lebih 10 jam tanpa rawatan, kerana katil sudah penuh. Bekalan oksigen juga kehabisan.

Moga negara kita juga tidak jadi seperti Brazil, di mana ribuan bayi mati akibat Covid-19. Virus Covid-19 varian baharu ada mutasi pada unjuran protein dan mampu menembusi reseptor pada orang muda.

Varian baharu ini lebih canggih daripada nenek moyang mereka pada tahun lepas. Ia lebih laju merebak dan mampu menjangkiti orang muda.

Golongan antivaksin sering membandingkan keadaan pesakit positif Covid-19 yang tiada gejala, hanya merehatkan diri selama 10–14 hari di pusat kuarantin yang disediakan oleh kerajaan.

Bagi mereka, tiada apa-apa pun. Tidak sakit dan tidak juga diberi ubat. Maka, kenapa harus takut? Bagi yang mempersoalkan SOP di masjid dan surau pula, mereka tanya, takut kuman atau takut Tuhan?

Ketahuilah bahawa katil ICU di negara kita sudah penuh. Tiada lagi ventilator untuk diberikan kepada pesakit kritikal.

Ketahuilah juga bahawa vaksin mampu mengurangkan kemasukan pesakit ke wad. Vaksin boleh membantu mengurangkan pesakit di ICU. Vaksin juga mampu mengurangkan kematian akibat Covid-19.

Sedarlah sesungguhnya vaksin Covid-19 lebih tinggi manfaatnya berbanding mudaratnya.

Virus Covid-19 varian baharu ada mutasi pada unjuran protein dan mampu menembusi reseptor pada orang muda.

Varian baharu ini lebih canggih daripada nenek moyang mereka pada tahun lepas.

* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!