PRU15: UMNO Seremban usul tanding kerusi Parlimen Seremban

Zool Amali (berdiri) beramah mesra dengan ahli Pemuda UMNO Bahagian Seremban pada majlis berkenaan.
Zool Amali (berdiri) beramah mesra dengan ahli Pemuda UMNO Bahagian Seremban pada majlis berkenaan.
A
A
A

SEREMBAN - UMNO Bahagian Seremban membawa usul agar kerusi Parlimen Seremban ditandingi oleh calon mereka pada pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussain berkata, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat UMNO bahagian baru-baru ini dan ia telah pun dibawa ke pengetahuan UMNO perhubungan negeri.

"Jadi sekarang terpulang kepada pucuk pimpinan negeri dan pimpinan tertinggi parti sama ada mahu beri laluan pada UMNO bertanding di Parlimen Seremban atau sebaliknya.

"Jika diberi peluang kepada UMNO, saya yakin kita boleh menang berdasarkan rekod 53 peratus pengundi Melayu di Parlimen Seremban," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban di Senawang, dekat sini pada Sabtu.

Menurutnya, ketegasan UMNO yang mahukan kerusi Parlimen Seremban bukannya menidakkan peranan MCA, tetapi sudah tiga kali dalam pilihan raya kerusi yang ditandingi itu kalah teruk.

"Jadi kita harap MCA dapat berlapang dada dan berjiwa besar dengan memberi peluang kepada UMNO pula untuk bertanding di kerusi berkenaan.

"Lagipun majoriti dalam enam kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) di Parlimen Seremban adalah pengundi Melayu.

"Tapi saya rasa tiada masalah juga jika kita bagi satu kerusi DUN kepada MIC kerana kita perlu bantuan MIC di DUN Nilai. Apa-apa pun biar pihak kepimpinan tertinggi putuskan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU14, DAP yang diwakili oleh calonnya iaitu Anthony Loke Siew Fook menang di kerusi Parlimen Seremban dengan majoriti 30,694 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA, Datuk Chong Sin Woon yang mendapat 24,809 undi serta calon Pas, Shariffuddin Ahmad memperoleh 11,506 undi.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mustafa Salim ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan yang UMNO bahagian itu telah pun mengusulkan kepada kepimpinan tertinggi UMNO Negeri yang mereka mahu kerusi Parlimen Seremban diberi kepada UMNO.