Shaharuddin cuba sabotaj parti: Bersatu Perak

Roslan (hadapan, lima kanan) mengetuai lebih 30 ahli akar umbi Bersatu Bahagian Bukit Gantang mengadakan sidang media membidas tindakan Shaharuddin dan beberapa pemimpin Bahagian Bersatu di Perak mendesak Ahmad Faizal letak jawatan parti, hari ini.
A
A

TAIPING - Lebih 30 ahli akar umbi Bersatu Bahagian Bukit Gantang membidas tindakan bekas ketuanya, Datuk Shaharuddin Rashid bersama beberapa ketua bahagian lain yang menuntut Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan parti dalam satu sidang media di sini semalam.

Jurucakap akar umbi, Roslan Mat Dan berkata, Shaharuddin dan kesemua bekas pemimpin bahagian Bersatu terlibat tidak layak mengemukakan tuntutan berkenaan kerana mereka sebenarnya merupakan antara ketua Bahagian parti yang bermasalah sebelum PRU14 lagi.

Menurutnya, Shaharuddin yang turut bertanding sebagai calon ADUN Trong sebelum ini, juga gagal mendaftarkan Bersatu Bahagian Bukit Gantang sejak sebelum PRU14.

"Tindakan tidak bertanggungjawab beliau menimbulkan tanda tanya dan tidak puas hati dalam kalangan kami di peringkat akar umbi pada waktu itu.

"Pendaftaran Bersatu peringkat Bahagian adalah perkara amat penting, tapi beliau dilihat sengaja menangguhkannya atas alasan tidak masuk akal seperti borang pendaftaran dihantar hilang dan sebagainya.

"Apabila Bahagian tidak didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan, maka secara tidak langsung ia melumpuhkan operasi dan gerak kerja parti pada pilihan raya umum dan kami amat menyakini senario itu merupakan usaha sabotaj Shaharuddin," katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini petang tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Desak Ahmad Faizal letak jawatan

Roslan berkata, agenda menjatuhkan Ahmad Faizal yang mengetuai Bersatu Perak juga dianggap sinonim dengan Shaharuddin yang sebelum ini pernah menjalankan gerakan melobi jawatan Menteri Besar Perak sebelum PRU14.

Katanya, Shaharuddin juga dilihat amat kurang menjalankan tugasan atau mengadakan program-program mengukuhkan Bersatu Bahagian Bukit Gantang sejak memegang jawatan Ketua Bahagian.

"Kelemahan kepimpinan Shaharuddin yang hanya mengutamakan agenda peribadi adalah faktor utama calon-calon Bersatu di Parlimen Bukit Gantang gagal menewaskan calon UMNO pada PRU14.

"Selain itu, cadangan beliau supaya Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang baharu seminggu diterima menjadi ahli parti supaya dilantik Pengerusi Bersatu Perak baharu jelas menunjukkan tahap pemikirannya cetek dalam memahami aspirasi ahli parti.

"Kami sentiasa sebulat suara menyokong kepimpinan Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak sebagai Pengerusi Bersatu Perak sehingga kini," katanya.

Roslan turut berterima kasih di atas tindakan prihatin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu bertindak membubarkan 13 jawatankuasa bahagian di Perak termasuk Bukit Gantang pada 30 Januari lalu.

"Tindakan itu tepat dan memberi harapan kepada kami untuk kembali bangkit menyusun kekuatan parti sekaligus memfokuskan usaha menawan kembali kesemua kerusi di Parlimen Bukit Gantang pada PRU15," katanya.