Pelan strategik PTPTN dilancar awal Jun

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

JITRA - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam peringkat akhir menyiapkan pelan strategik merangkumi penambahbaikan fungsi dan peranannya yang akan dilancarkan pada awal Jun depan.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, penambahbaikan yang bakal dilakukan termasuk dari segi penjenamaan, peranan dan teknologi yang digunakan dalam perkhidmatan kepada rakyat.

"Ia bukan penambahbaikan untuk penjenamaan semula seperti menukar logo, ia lebih kepada menjelaskan peranan kita supaya rakyat faham bahawa kita bukan sekadar bagi pinjaman (pendidikan) tetapi peranan utama kita ialah tabungan, sesuai dengan nama kita," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Program Jelajah Ramadan PTPTN 2021 bagi Parlimen Kubang Pasu di sini pada Ahad.

Mengulas mengenai kefahaman masyarakat mengenai peranan PTPTN, beliau berkata, ia dilihat semakin baik apabila ramai mengetahui dan menyertai program tabungan yang disediakan perbadanan itu.

"Kalau dulu orang melihat PTPTN menyediakan pinjaman sahaja, sekarang ini rakyat mula nampak peranan kita dalam kebajikan dan program tabungan, tabungan kita meningkat berkali ganda sejak beberapa tahun lepas," katanya.

Sementara itu, Wan Saiful berkata sebanyak RM893,000 disediakan PTPTN untuk Program Jelajah Ramadan PTPTN 2021 kali ini yang disalurkan kepada golongan asnaf dan bantuan kepada masjid-masjid di seluruh negara.

"Bantuan akan disalurkan dalam tiga bentuk iaitu bantuan tunai kepada golongan asnaf, bantuan kewangan kepada masjid dan sumbangan kepada pencarum akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: