Polis sangkal dakwaan Muhammad Adib dilanggar

Mohamad Fuzi Harun
Mohamad Fuzi Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyangkal dakwaan sesetengah pihak mengatakan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, parah kerana kemalangan dirempuh kenderaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, perkara itu juga sudah dijelaskan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohamad Hamdan Wahid semalam.

Menurutnya, maklumat itu tidak benar dan laporan polis juga telah dibuat bomba di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, semalam.

"Saya banyak menerima bermacam-macam laporan berhubung kes ini.

"Polis sedang mengenal pasti individu yang menyebar rakaman video tidak benar itu. Malah kita juga giat memburu perusuh yang memukul mangsa," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Forum Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) : Ke Arah Perkhidmatan Kepolisan Yang Cemerlang di Maktab PDRM di sini, hari ini.

Tambahnya, beliau turut menanyakan bagaimana mangsa boleh kritikal sebegitu kalau tidak dipukul.

"Kalau tidak dipukul, macam mana boleh kritikal ketika ini. Orang ramai yang ada maklumat sila tampil bantu siasatan," katanya.

Semalam, Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman mendakwa kecederaan dialami Muhammad Adib adalah disebabkan kemalangan jalan raya.

Artikel Berkaitan:

[ARTIKEL BERKAITAN: Adib dilanggar bukan dipukul]

Setiausahanya, VK Regu berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila jentera milik JBPM cuba untuk mengundurkan kenderaannya sebelum melanggar mangsa terlibat. Apabila JBPM cuba untuk ke depan, terdapat kenderaan yang terbakar dan mereka terus mengundurkan jentera kerana bimbang berlaku letupan.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya akan mengambil keterangan semua pihak yang berkaitan bagi melengkapkan siasatan.

"Kita juga akan merakam keterangan pemaju, One City Development Sdn Bhd," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung perkara yang mencetuskan ketegangan dan tular di media sosial.

"Banyak laporan polis diterima tentang viral sebegini. Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan sedang dijalankan," katanya.