Sri Pahang FC belum mampu kejar 'kelab atasan'

Lee Tuck menjaringkan gol pertama Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur pada Sabtu. - Foto FB Sri Pahang FC
Lee Tuck menjaringkan gol pertama Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur pada Sabtu. - Foto FB Sri Pahang FC
A
A
A

PRESTASI Sri Pahang FC masih ketinggalan berbanding kelompok pasukan teratas Liga Super musim ini meskipun berjaya membelasah UiTM FC 5-0 pada perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu.

Pengendalinya, Dollah Salleh berkata, punca anak buahnya berjaya berkenduri gol sekali gus mengutip tiga mata berharga hanyalah disebabkan mereka tidak melepaskan peluang apabila berada di hadapan gawang lawan.

"Daripada persembahan malam tadi kita masih jauh dan belum mencapai tahap cemerlang yang saya harapkan, apatah lagi hendak mengejar pasukan kelompok atas liga. Kita bermula dengan baik apabila berjaya meledak gol seawal minit pertama sebelum kembali hilang arah dan membenarkan UiTM FC menguasai perlawanan.

"Semasa penjaga gol Helmi Heliza berjaya menyelamatkan sepakan penalti diambil pemain UiTM FC, ketika itu baru para pemain kita bangkit dan menggunakan semua peluang keemasan untuk mencipta jaringan," katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, Dollah berkata, kemenangan pada aksi terakhir pusingan pertama ini sedikit sebanyak menyuntik semangat skuad Tok Gajah untuk menampilkan aksi lebih meyakinkan pada perlawanan seterusnya.

"Pasukan kita masih belum sempurna sepenuhnya sehingga saya terpaksa menurunkan Herald Mark Goulon yang masih cedera.

"Dalam situasi kritikal ini saya terpaksa bertindak sedemikian untuk menguatkan barisan pertahanan dan alhamdulillah nampaknya skuad kami lebih mantap," katanya.

Sementara itu, Jurulatih UiTM FC Frank Bernhardt berkata, rentak perlawanan mungkin berpihak kepada pasukannya jika mereka berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-61.

Artikel Berkaitan:

"Sri Pahang telah mendahului 2-0 tetapi jika kita berupaya menghasilkan gol pada permulaan babak kedua, saya percaya keputusan perlawanan pasti berbeza.

"Kekalahan besar ini amat mengecewakan tetapi saya masih fokus untuk mengutip tiga mata penuh bagi perlawanan seterusnya," katanya sambil mengharapkan dua pemain import baharu dapat dibawa masuk bagi menguatkan pasukannya pada jendela perpindahan ini. - Bernama