Polis tembak mati penjenayah pecah rumah di Semporna

Seorang penjenayah pecah rumah maut ditembak selepas menyerang polis menggunakan parang.
Seorang penjenayah pecah rumah maut ditembak selepas menyerang polis menggunakan parang.
A
A
A

SEMPORNA - Seorang pendatang haram warga Filipina yang aktif dalam kegiatan pecah rumah dan curi di Semporna mati ditembak polis di sebuah rumah atas air di Kampung Panji Laut pada Jumaat lepas.

Suspek dikenali Jamalsalih Kaldo, 40, yang dipercayai terbabit dalam sembilan kes pecah rumah dan curi bernilai kira-kira RM80,000 di sini, ditembak ketika serbuan polis di kediamannya pada jam 9.30 malam selepas menyerang polis menggunakan parang sepanjang 70 sentimeter (cm).

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian itu berlaku ketika sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Polis Semporna diketuai Inspektor Azwan Asis memasuki sebuah bilik di rumah itu dan tiba-tiba suspek meluru sambil melibaskan parang ke arah polis.

"Polis melepaskan empat das tembakan kerana suspek bertindak agresif, das pertama mengenai paha kanan suspek, das kedua di tengah perut dan das ketiga serta keempat terkena di rusuk kiri dan kanan sehingga suspek rebah ke lantai.

"Ketika itu, suspek juga cuba mencapai lastik panah dengan anak panah berukuran 13.5 cm tetapi berjaya dirampas polis dan suspek kemudian dibawa ke wad kecemasan Hospital Semporna sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 12.40 tengah malam," katanya dalam satu sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Mohd Farhan berkata, suspek yang juga penagih dadah itu dipercayai bergerak sendiri dan menggunakan senjata parang ketika melakukan kegiatan pecah rumah selain hanya mencuri barang yang kecil seperti wang tunai dan emas.

Beliau berkata, suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan antaranya pada tahun 2013 suspek dipenjara setahun serta diusir pulang ke negara asal selepas didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

"Dalam kejadian 2013 itu, suspek juga melibaskan parang kepada polis, sebelum polis melepaskan dua das tembakan pada kaki," katanya dan menambah suspek melakukan jenayah berulang meskipun empat kali dijatuhkan hukuman.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau menasihatkan ibu bapa agar tidak membenarkan anak mereka memandu tanpa lesen bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Nasihat itu katanya, berikutan seorang pelajar lelaki berumur 17 tahun di sini yang tidak memiliki lesen memandu, maut selepas kenderaan dipandu dari Kampung Sungai Buaya terbabas dan terjunam ke parit sebelum kereta itu terkena tiang elektrik di Kampung Indani di sini pada jam 7.25 malam tadi. - Bernama