Kerajaan alu-alukan kerjasama swasta bantu NRW

Dr Xavier dibawa meninjau operasi kilang selepas majlis perasmian.
Dr Xavier dibawa meninjau operasi kilang selepas majlis perasmian.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan mengalu-alukan penglibatan syarikat swasta dalam membantu menjayakan inisiatif pengurangan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) secara holistik melalui penghasilan paip air yang berkualiti dan tahan lama.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr J Xavier berkata, ia seiring dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan NRW kepada 31 peratus di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dengan fokus kepada program penukaran dan penggantian paip dari jenis asbestos cement (AC) kepada paip jenis PVC berkualiti tinggi.

Menurutnya, penggunaan teknologi baharu seperti paip jenis PVC lebih baik memandangkan tempoh hayatnya lebih panjang, prestasi hidrolik lebih baik, mudah dipasang dan dapat meminimumkan kebocoran.

“Statistik 2017 menunjukkan terdapat hampir 41,560 kilometer (km) atau 27 peratus paip AC masih digunakan dalam retikulasi bekalan air di negara ini. “Penggunaan paip AC tertinggi melibatkan Kedah (53 peratus), Perlis dan Kelantan, masing-masing 49 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya sempena Majlis Perasmian Kilang Pembuatan Paip Orientated Unplasticized Polyvinyl Chloride (PVC-O) Termaju, Molecor (SEA) Sdn Bhd di kawasan Perindustrian Gebeng fasa 2 di sini, hari ini.

Dr Xavier dibawa meninjau operasi kilang selepas majlis perasmian.
Dr Xavier dibawa meninjau operasi kilang selepas majlis perasmian.

Turut hadir, Setiausaha Kementerian, Datuk Zurinah Pawanteh dan Pengerusi Molecor (SEA) Sdn Bhd, datuk Ir Low Keng Kok.

Dr J Xavier berkata, negeri berkenaan juga dikenal pasti mencatatkan kadar NRW antara yang paling tinggi di negara ini di mana Kedah mencatatkan kadar NRW 48 peratus, Perlis, 63 peratus dan Kelantan, 49 peratus.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, kerajaan mengambil inisiatif dalam menyokong pengurusan sumber air, bekalan dan perkhidmatan pembetungan secara holistik dan berkesan.

“Antaranya pengenalan Dasar Air Negara, penambahbaikan aspek perundangan melalui Rang Undang-Undang Sumber Air, kajian pembangunan sumber air dan penstrukturan semula industri bekalan air.

“Usaha itu dilakukan bagi mewujudkan struktur industri bekalan air yang mampan untuk jangka masa panjang terutama dalam aspek keberkesanan operasi, kewangan, peningkatan kesejahteraan hidup rakyat dan kelestarian sumber air melalui perkhidmatan pembetungan yang teratur dan cekap,” katanya.

Menyentuh berhubung paip PVC-O keluaran Molecor (SEA) Sdn Bhd, beliau berkata, kerajaan mengalu-alukan penglibatan syarikat swasta termasuk syarikat itu dalam program pembekalan air di negara ini.

Dr Xavier memandatangani plak sebagai simbolik perasmian.
Dr Xavier memandatangani plak sebagai simbolik perasmian.

“Usaha syarikat ini menghasilkan paip PVC-O menjadi perintis jalan dalam penghasilan paip berteknologi tinggi bagi kegunaan dalam industri bekalan air dan pembetungan di negara ini dan rantau Asia Tenggara.

“Saya difahamkan, sehingga kini paip PVC-O ini sudah dipasang sepanjang 450km melibatkan 10 negeri,”katanya.

Beliau berkata, pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) telah memperuntukkan RM18 juta bagi pembekalan dan pemasangan 150km paip jenis ini bagi kerja-kerja capital expenditure yang dipohon Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) untuk tahun 2019 hingga 2020.

“Bagaimanapun terpulang kepada kerajaan negeri dan syarikat pengurusan air negeri terlibat sama ada menggunakan paip jenis ini atau sebaliknya,” katanya.

Kilang Pembuatan Paip PVC-O Termaju, Molecor (SEA) Sdn Bhd di kawasan Perindustrian Gebeng dibina dengan kos RM120 juta melalui kerjasama dan program pemindahan teknologi dengan Molecor Technologia SL dari Spanyol.