Polis gempur 'litar lumba' mat rempit

Penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Taman Desa Aman, Jalan Pasir Puteh di Ipoh pada Ahad.
Penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Taman Desa Aman, Jalan Pasir Puteh di Ipoh pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun antara 10 mat rempit yang ditahan selepas dikesan berlumba dan membuat bising di Taman Desa Aman, Jalan Pasir Puteh di sini, awal pagi Ahad.

Dalam serbuan Op Samseng Jalanan sekitar jam 3 pagi itu, kesemua lelaki berusia lingkungan sehingga 30 tahun terbabit sedang leka berlumba dan menunggang motosikal secara berbahaya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata, kesemua mereka yang berkumpul di kawasan itu didapati melakukan aksi seperti wheelie, zig zag dan menunggang dalam keadaan laju sambil menundukkan badan.

Menurutnya, aksi tersebut bukan sahaja berbahaya kepada diri sendiri malah pengguna jalan raya lain.

"Kita telah menerima aduan penduduk yang mendakwa diganggu bunyi bising deruman motosikal pada setiap malam minggu.

"Hasil aduan itu, JSPT bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ipoh menjalankan risikan dan pemantauan selama dua minggu sebelum serbuan dijalankan hari ini (Ahad)," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut kemudian mendapati kumpulan berkenaan akan berkumpul di kawasan tersebut yang dijadikan 'litar perlumbaan' mereka pada setiap hujung minggu bermula jam 1 pagi.

Katanya, dalam operasi itu, sebanyak 74 saman dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen, ubah suai ekzos dan kenderaan, nombor plat, tiada insurans dan cermin sisi.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang ditahan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis tidak akan berkompromi dengan aktiviti lumba haram dan kita minta kerjasama ibu bapa untuk memantau pergerakan anak-anak agar tidak terjebak dengan aktiviti tidak bermoral seumpama itu," katanya.