Indonesia luluskan penggunaan kecemasan vaksin Sinopharm

Vaksin buatan Sinopharm ialah vaksin ketiga diberikan permit penggunaan kecemasan di Indonesia.
Vaksin buatan Sinopharm ialah vaksin ketiga diberikan permit penggunaan kecemasan di Indonesia.
A
A
A

JAKARTA - Vaksin Covid-19 buatan Kumpulan Farmaseutikal Nasional China (Sinopharm) mendapat kelulusan untuk penggunaan kecemasan oleh Badan Pengawas Ubat dan Makanan (BPOM) Indonesia pada 30 April lalu.

Ketua BPOM, Penny Lukito dalam satu sidang akhbar berkata, keselamatan serta keberkesanan vaksin Sinopharm itu didapati amat memberangsangkan dan ia akan digunakan dalam program vaksinasi negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PT Kimia Farma Tbk, Verdi Budidarmo menjelaskan, program vaksinasi akan dilancarkan pada bulan ini.

Katanya, di bawah program ini, sektor swasta dibenarkan membeli dan menjalankan suntikan vaksin Covid-19 untuk melengkapkan program vaksinasi kerajaan.

PT Kimia Farma Tbk merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk mengedarkan vaksin itu.

Vaksin buatan Sinopharm ialah vaksin ketiga diberikan permit penggunaan kecemasan di Indonesia selain vaksin Sinovac Biotech China dan vaksin AstraZeneca Britain.

Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin pada Januari lalu mengumumkan kerajaan menyasarkan seramai 181 juta rakyat akan diberikan suntikan vaksin dalam tempoh 15 bulan.

Bagaimanapun, program itu agak perlahan berikutan kekurangan bekalan vaksin.

Artikel Berkaitan:

Menurut statistik pihak berkuasa, seramai 12.38 juta orang sudah menerima suntikan sekurang-kurangnya satu dos termasuk 7.63 juta telah menerima dua dos.

Menurut maklumat Badan Nasional Penyelamatan Bencana Indonesia pada 30 April, kes jangkitan baharu dilaporkan sebanyak 5,500 dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 1,668,368 setakat ini.

Sementara jumlah korban setakat ini seramai 45,521 orang. - Bernama