Polis gempur rumah flat, tahan empat tokan dadah

Polis merampas dadah jenis heroin dan syabu menerusi Op Tapis di sebuah rumah flat di Damansara, Petaling Jaya pada Sabtu.
Polis merampas dadah jenis heroin dan syabu menerusi Op Tapis di sebuah rumah flat di Damansara, Petaling Jaya pada Sabtu.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis menggempur sebuah rumah flat di Damansara di sini, pada Sabtu dan menahan empat lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Op Tapis pada jam 7.14 malam oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu dijalankan hasil maklumat dan risikan.

"Pemeriksaan di rumah terbabit menemui beberapa jenis dadah iaitu heroin (57.85 gram) dan syabu (31 gram) dengan nilai keseluruhan RM5,124.

"Polis percaya kesemua suspek terbabit terlibat dalam pengedaran dadah kira-kira tiga hingga sembilan tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, semakan mendapati keempat-empat suspek memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Katanya, kesemua suspek berusia lingkungan 31 hingga 43 tahun itu kini direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kata beliau, fokus utama operasi tersebut adalah bagi menguatkuasakan undang-undang dan membanteras kegiatan penjualan serta penagihan dadah khususnya di daerah Petaling Jaya.

"Dua kategori difokuskan iaitu penagih atau 'user' dadah serta tokan," katanya.

Artikel Berkaitan: