4 pemilik pusat hiburan, 45 pelanggan dikompaun RM325,000

Polis menjalankan operasi berasingan di Georgetown dan Bukit Mertajam pada awal pagi Ahad.
Polis menjalankan operasi berasingan di Georgetown dan Bukit Mertajam pada awal pagi Ahad.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Dua pemilik pusat hiburan di Lebuh Pantai di sini dikenakan kompaun RM50,000 dan diarah tutup perniagaan masing-masing kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam serbuan jam 1 pagi Ahad itu mendapati kedua-dua pemilik pusat hiburan terbabit menjalankan perniagaan secara tersembunyi.

Menurutnya, selain itu, 26 pengunjung turut dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang dalam operasi sama yang dijalankan sepasukan polis Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL).

"Siasatan mendapati pemilik pusat hiburan berkenaan menjalankan aktiviti terlarang semasa PKPB. Pemilik dikompaun RM25,000 manakala jumlah keseluruhan 26 pelanggan yang dikompaun adalah RM130,000.

"Kedua-dua pemilik premis berusia 40-an itu didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 11, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021. Mereka dikenakan kompaun RM25,000 setiap seorang mengikut Peraturan 19(2) termasuk arahan tutup premis," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata, dalam serbuan berasingan di Datuk Keramat di sini, seorang pemilik pusat hiburan dikompaun RM25,000 kerana menjalankan perniagaan.

"Ketika serbuan, tiada pelanggan di dalam premis tersebut dipercayai melarikan diri.

"Oleh itu, jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan dalam operasi awal pagi tadi adalah RM205,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di daerah Seberang Perai Tengah pula, seorang pemilik pusat hiburan dikenakan kompaun RM25,000 manakala 19 pengunjung masing-masing dikompaun RM5,000 kerana ingkar PKPB.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, dalam serbuan Ops Covid Pemantauan Pusat Hiburan dan Noda pada jam 1.15 pagi Ahad itu, polis menahan 20 lelaki tersebut di sebuah premis di Jalan Icon City, Icon City di sini.

Menurutnya, kesemua yang dikompaun didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu tidak memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

"Ketika serbuan, kesemua 19 lelaki berusia lingkungan 19 hingga 44 tahun sedang berhibur sambil meminum minuman keras selain lampu premis masih dinyalakan.

"Kesemua mereka dikompaun yang mana, pemilik premis (penjaga kaunter) dikompaun RM25,000 manakala pelanggan dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang. Jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan adalah RM120,000," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata, semua lelaki tersebut didapati melalukan kesalahan mengikut Peraturan 19(1) PPDPB (No.4) 2021 (Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) (Akta 342).