Peniaga lega bazar Ramadan dibenarkan operasi

Suasana bazar Ramadan Lurah Semantan.
Suasana bazar Ramadan Lurah Semantan.
A
A
A

TEMERLOH - Kira-kira 250 peniaga di Bazar Lurah Semantan dan Temerloh Jaya di sini lega apabila mereka dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Sebelum ini, dua bazar itu antara 22 lokasi seluruh negara yang diarah tutup bermula Sabtu, namun kerajaan Pahang tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan dan membenarkan bazar terlibat beroperasi seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Peniaga kuih-muih di bazar Ramadan Temerloh Jaya, Azimah Adnan, 51, mengakui terkejut selepas mengetahui bazar itu antara yang diarah tutup.

Menurutnya, dia mengetahui arahan itu pada Jumaat selepas dimaklumkan oleh seorang pelanggan.

"Serba tidak kena dibuatnya, namun lega selepas diberitahu kami boleh beroperasi seperti biasa," katanya pada Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya, dia akan mengalami kerugian jika bazar itu diarahkan tutup.

Nik Asnira lega selepas mendapat tahu bazar Ramadan Temerloh Jaya tetap dibuka seperti biasa.
Nik Asnira lega selepas mendapat tahu bazar Ramadan Temerloh Jaya tetap dibuka seperti biasa.

"Saya sudah beli banyak stok niaga dan sudah pasti akan mengalami kerugian jika tidak dibenarkan berniaga," katanya memasuki tahun kedua berniaga di bazar tersebut.

Artikel Berkaitan:

Bagi peniaga nasi beriani, Nik Asnira Nik Ismail, 46, dia mengetahui arahan itu selepas ia tular di laman sosial Facebook sejak Jumaat.

"Masa dapat tahu memang terkedu memikirkan stok dan modal yang telah digunakan, namun selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) maklumkan boleh berniaga macam biasa, lega rasanya.

"Namun saya dimaklumkan prosedur operasi standard (SOP) akan diperketatkan lagi," katanya.

Sementara itu, peniaga ayam pusing di bazar Ramadan Lurah Semantan, Noor Liana Mat Piah, 35, berkata, dia berharap pengunjung dan peniaga terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

Dua bazar berkenaan antara yang diarah tutup dan tersenarai dalam surat edaran yang ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak memberitahu kerajaan negeri tidak bersetuju dengan keputusan dan membenarkan bazar terlibat beroperasi seperti biasa mengikut SOP yang ditetapkan.