Remaja terjatuh laut ditemukan lemas

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang remaja lelaki ditemukan lemas setelah terjatuh ke dalam laut selepas membantu bapa saudaranya memasang jaring di Pangkalan Kuala Lukut Kecil, Port Dickson dekat sini pada Ahad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd Hairul Izam Mazelan berkata, remaja berusia 16 tahun itu ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang dan PPDA Jempol kira-kira 12.35 tengah hari pada Ahad.

Menurutnya, mangsa yang hanya berseluar pendek itu ditemukan timbul di permukaan air kira-kira 50 meter dari tempatnya dilaporkan terjatuh.

“Seramai 26 anggota digerakkan ke lokasi kejadian bersama empat bot penyelamat dan empat kayak sejurus menerima laporan awal daripada bapa saudaranya, M Narianasamy yang menaiki bot bersama remaja itu kira-kira pukul 6.15 petang semalam.

“Maklumat awal mendapati mangsa bersama bapa saudaranya memasang jaring di perairan berkenaan semalam kira-kira 3 petang, bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang mangsa terjatuh,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Beliau berkata, operasi pencarian yang bermula pada Sabtu ditamatkan pada jam 1.16 tengah hari tadi.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel Berkaitan: