Tarif air Pahang naik, ada persetujuan ke arah itu: Xavier

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bersedia bekerjasama dengan kerajaan Pahang dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) untuk mengatasi masalah berkaitan industri air di negeri ini.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata, ia termasuk isu kehilangan air tidak berhasil (NRW) di negeri ini yang agak tinggi sehingga 46 peratus.

Menurutnya, ketiga-tiga pihak ini perlu ada persefahaman untuk bekerjasama dalam usaha menaikkan taraf industri air di Pahang.

“Ia termasuk juga cadangan penyelarasan kenaikan kadar tarif air, boleh saya katakan, ada persetujuan daripada kerajaan negeri ke arah itu.

“Pada saya ia satu perkembangan positif untuk Pahang maju demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Kilang Pembuatan Paip Orientated Unplasticized Polyvinyl Chloride (PVC-O) Termaju, Molecor (SEA) Sdn Bhd di kawasan Perindustrian Gebeng fasa 2 di sini, hari ini.

Xavier berkata, pihaknya masih berunding termasuk dengan negeri-negeri lain bagi memuktamadkan persetujuan berhubung perkara ini.

“Kadar kenaikan tarif air ini masih dalam perbincangan. Kita kena faham isunya bukan soal kenaikan tarif semata-mata tetapi paling penting syarikat pembekalan air negeri dapat bekerja dengan lebih efisien dan ada sistem yang boleh membawa perubahan besar dalam industri air di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita ada tanggungjawab bagi memastikan rakyat dapat kemudahan air bersih sewajarnya dan bukan mengejar keuntungan semata-mata kerana air satu keperluan yang cukup penting,” katanya.

Beliau berkata, kementerian dan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah berbincang dan menetapkan tempoh masa bagi memuktamadkan persetujuan dengan negeri-negeri bagi kenaikan tarif air ini.

“Harap kita dapat capai persetujuan dalam masa terdekat.

"Mungkin tahun ini... atau mungkin tahun depan,” katanya.