X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Sultan Johor zahir kebimbangan

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar - Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes Covid-19 yang kini berada pada tahap yang sangat kritikal.

Sultan Ibrahim bertitah, memandangkan jumlah kes tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dan beberapa negeri termasuk Johor kini menjadi negeri berisiko tinggi, rakyat diminta untuk tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) walaupun mereka telah menerima suntikan vaksin terhadap virus tersebut.

Titah baginda, rakyat juga diingatkan untuk menjaga diri dan satu sama lain kerana sesetengah rakyat memandang ringan SOP serta bersikap seolah-olah wabak itu sudah berakhir.

“Sikap berbahaya ini hanya akan menambah lagi beban kemudahan penjagaan kesihatan kita.

“Setiap kali apabila kita merasakan bahawa keadaan mula pulih dari penularan Covid-19, namun sebaliknya jumlah kes yang dicatatkan kembali meningkat lagi. Umpama mula menimbulkan rasa putus asa dan tiada kepedulian lagi,” titah baginda menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook.

Sultan Ibrahim bertitah, walaupun sistem penjagaan kesihatan negara ini diurus tadbir dengan baik, namun semuanya mempunyai batas.

Titah baginda, jika beban yang terpaksa ditanggung menjadi keterlaluan, pasti akan membawa akibat yang tidak dapat dibayangkan.

“Saya harap agensi penguatkuasaan akan bertindak lebih tegas dan adil terhadap mereka yang melanggar SOP ditetapkan. Kita tidak boleh membiarkan keadaan menjadi tidak terkawal seperti yang sedang berlaku di India sekarang.

“Saya juga berharap kerajaan negeri akan mengambil keputusan yang bijaksana dan bertindak demi kepentingan rakyat.

“Saya menggesa rakyat Johor agar segera mendaftar untuk menerima suntikan vaksin. Percayalah kepada pakar kesihatan yang sahih, bukan khabar angin,” titah baginda.

Baginda bertitah, sebagai Sultan Johor, baginda amat mengambil berat akan kebajikan dan keselamatan Bangsa Johor.

Baginda juga tidak mahu lagi mendengar kisah sedih keluarga yang kehilangan ahli mereka yang tersayang akibat wabak ini.

“Sekiranya perintah kawalan pergerakan yang ketat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa, biarlah ia dilaksanakan buat kali terakhir tetapi berkesan dengan memastikan orang ramai juga memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan peraturan yang dikuatkuasakan.

“Pengorbanan mesti dibuat untuk kebaikan semua. Jangan kita menyesal kemudian hari, tiada gunanya,” titah baginda.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!