Lockdown: Kelantan tunggu keputusan kerajaan pusat

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan menyerahkan sebarang keputusan kepada kerajaan pusat jika terpaksa melaksanakan ‘lockdown’ bagi membendung penularan Covid-19 di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob berkata, sehingga kini tiada cadangan daripada pihak kerajaan negeri untuk melaksanakannya walaupun jumlah penularan pandemik tersebut di negeri ini melibatkan tiga angka setiap hari.

“Setakat ini, kita tiada cadangan untuk ‘lockdown’, kita tunggu saja keputusan Pusat, isyarat dan arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahupun Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Ahmad melakukan lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor di sini pada Ahad.

Turut mengiringi, Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin dan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan amat bimbang dengan situasi semasa penularan Covid-19 di negeri ini dan berharap seluruh rakyat dapat terus patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Katanya, pematuhan SOP masih dilihat terlalu lemah dan perlu dipertingkatkan lagi dari masa ke masa terutamanya di lokasi tumpuan ramai.

“Pengorbanan daripada pasukan barisan hadapan juga amatlah dihargai kerana mereka tidak pernah jemu berjuang untuk membantu pesakit yang semakin hari semakin ramai.

Artikel Berkaitan:

“Kita sangat berterima kasih dengan perkhidmatan mereka ini dan kita sekali lagi mengharapkan masyarakat mematuhi SOP. Kita mesti ada kesedaran tinggi dan jaga diri sendiri. Daripada hijau bertukar merah, ini memang membimbangkan kita,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah Kelantan akan membeli sendiri vaksin sebagaimana yang dilakukan Sarawak, Ahmad berkata, buat masa kini tiada cadangan dibincangkan melibatkan isu berkenaan.