Kes Rizal dibicara bersama kes Rosmah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes rasuah bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Rizal Mansor, akan dibicarakan bersama kes membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Ini susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah yang membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk memindahkan kes berkenaan ke mahkamah yang mendengar kes Rosmah, di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan. Mohd Dusuki juga memaklumkan mahkamah bahawa pendakwaan telah memfailkan notis usul dan afidavit untuk menyokong permohonan pada 11 Februari.

Peguam N.Yohendra, mewakili Rizal, 45, tidak membantah permohonan pendakwaan dan mahkamah menetapkan 21 Februari untuk sebutan di hadapan Hakim Mohamed Zaini.

Pada 15 November 2018, Rizal, 45, mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah, berjumlah RM5.5 juta, melibatkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta, bagi pihak Rosmah sejumlah RM187.5 juta iaitu 15 peratus nilai kontrak, daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Ia sebagai dorongan untuk Rosmah melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel Bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Bagi pertuduhan kedua, Rizal didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan iaitu wang berjumlah RM25 juta daripada Saidi sebagai dorongan untuk tertuduh melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu memastikan Rosmah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe', G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit, dekat sini antara Mac dan April 2016.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan ketiga, Rizal didakwa telah secara rasuah menerima RM5 juta bagi pihak Rosmah daripada Saidi sebagai upah bagi Rosmah kerana telah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama di Lobi Pavilion REIT Management Sdn Bhd, 168, Pavilion, Jalan Bukit Bintang dekat sini pada 20 Disember 2016.

Menurut pertuduhan keempat, dia didakwa telah secara rasuah menerima bagi dirinya sendiri sejumlah RM500,000 daripada Saidi sebagai upah dalam memastikan Rosmah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di No 1, Laman Damai Sari, Jalan 1/61, Bukit Segambut di sini pada 23 Disember 2016.

Kesemua pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 10 kali jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lepas.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.- Bernama