X

Kindly register in order to view this article
!

Campur tangan politik cetus kacau-bilau dalam perkhidmatan awam

Asmuni (kanan) bertanyakan sesuatu kepada seorang penerima sumbangan pada Program Beli Belah Pakaian Raya di Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya pada Ahad.
A
A

IPOH - Campur tangan politik terhadap organisasi perkhidmatan awam hanya akan menyebabkan kacau-bilau di dalam jabatan kerajaan terutama pasukan keselamatan.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, sebarang urusan di dalam organisasi perkhidmatan awam perlu diuruskan sendiri oleh ketua jabatan masing-masing termasuklah pertukaran pegawai.

Menurutnya, tindakan campur tangan itu juga akan menyebabkan perkhidmatan awam tidak lagi bebas dan cenderung untuk memihak kepada pihak-pihak tertentu.

"Perkhidmatan awam ini ada bos dia, jadi tidak molek kalau orang lain campur tangan di situ. Misalnya pertukaran pegawai-pegawai daerah di peringkat negeri, takkan menteri besar nak campur tangan. Tugas itu mestilah diuruskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri sebab dia yang lebih tahu.

"Dalam kes organisasi polis pula mereka ada Ketua Polis Negara yang bertanggungjawab terhadap pengurusan kepolisian termasuklah pertukaran pegawai. Orang politik jangan campur tangan dalam urusan pentadbiran awam, kacau bilau jadinya.

"Orang politik ikut mana pun ada 'political interest' tak usah bohonglah," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Program Beli Belah Pakaian Raya di Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya, di sini pada Ahad.

Asmuni berkata, institusi awam mesti dibebaskan daripada dipengaruhi oleh campur tangan kerana dibimbangi penjawat awam terpaksa mengikut arahan orang politik termasuk memberi tekanan kepada musuh politik mereka.

Katanya, keadaan itu akan menjejaskan kestabilan negara dan mencetuskan sabotaj terhadap kerajaan sedia ada jika berlaku peralihan kuasa.

"Kita mahu perkhidmatan awam bebas dan berkhidmat dengan kerajaan sedia ada itu konsepnya. Kalau ada campur tangan politik apabila berlakunya peralihan kuasa nanti, kecenderungan individu yang dilantik oleh parti lain masih lagi ada dan akan muncul sabotaj, 'deep state' dan tak mahu bekerjasama. Ini tidak baik kepada kelicinan pentadbiran negara.

"Biarlah urusan polis diuruskan oleh pihak polis sebab dia lebih tahu siapa yang layak sebab dia lebih kenal anak buah dia. Macam kita ada anak sendiri, tiba-tiba orang lain nak tentukan nak belajar ke mana. Jadi biarlah organisasi itu menguruskan organisasinya supaya di situ ada rasa tanggungjawab ketua terhadap anak buahnya," katanya.

Sementara itu, mengenai Program Beli Belah Pakaian Raya, Asmuni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi berkata, seramai 350 anak-anak asnaf dan golongan kurang berkemampuan dirai melibatkan beberapa kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi dan DUN Hulu Kinta.

Menurutnya, pemberian bantuan melibatkan pakaian hari raya itu hasil sumbangan pelbagai pihak sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu dengan jumlah keseluruhan RM350,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Segera tubuh RCI siasat dakwaan KPN

Dakwaan KPN mengenai rasuah, budaya lompat parti serius: Asyraf Wajdi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!