Anggota polis cedera dirempuh mat rempit

Anggota yang cedera akibat dirempuh dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut. FOTO: POLIS TRAFIK KUANTAN
Anggota yang cedera akibat dirempuh dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut. FOTO: POLIS TRAFIK KUANTAN
A
A
A

KUANTAN - Seorang anggota polis cedera pada bahagian kaki akibat dirempuh ketika cuba menahan penunggang motosikal yang bertindak meloloskan diri dari sekatan Ops Khas Motosikal di Jalan Tanjung Lumpur di sini pada malam Sabtu.

Anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah berpangkat sarjan berusia 46 tahun itu dilaporkan patah pergelangan kaki dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, penunggang terlibat (suspek) berjaya meloloskan diri dan usaha mengesannya sedang dijalankan.

Menurutnya, dalam operasi itu, seramai 161 individu berusia 18 hingga 35 tahun ditahan bersama 156 motosikal untuk diperiksa.

"Hasil pemeriksaan, sebanyak 218 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Kesalahan nombor plat mencatatkan jumlah paling tinggi dengan 90 kes diikuti tiada cermin sisi (47), ubah suai motosikal (33), tiada lesen (24), ekzos bising (16) dan lain-lain kes (8).

"Sebanyak 31 motosikal disita di bawah Sek 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan seperti ubah suai ekzos, tiada nombor pendaftaran, nombor plat fancy dan menunggang tanpa lesen," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Mohamad Noor berkata, daripada keseluruhan kenderaan diperiksa, tiada kenderaan curi dan individu dikehendaki dikesan sepanjang ops tersebut dijalankan.

Artikel Berkaitan: