Polis perketat SJR di laluan tikus, elak rentas negeri

Polis menambah sekatan jalan raya (SJR) bergerak di empat lokasi laluan tikus yang bersempadan dengan negeri Kedah. - Gambar fail.
Polis menambah sekatan jalan raya (SJR) bergerak di empat lokasi laluan tikus yang bersempadan dengan negeri Kedah. - Gambar fail.
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis menambah sekatan jalan raya (SJR) bergerak di empat lokasi laluan tikus yang bersempadan dengan negeri Kedah bagi memastikan orang ramai tidak merentas negeri terutama ketika beberapa daerah di sana dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, empat lokasi itu membabitkan masing-masing dua di Kepala Batas dan Tasek Gelugor yang merupakan jalan kampung serta batas sawah padi dijadikan orang ramai untuk merentas negeri bagi mengelak dikesan polis.

"Selain SJR bergerak, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan pasukan kereta peronda polis juga sentiasa membuat rondaan di kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan tikus itu bagi memastikan tiada pihak merentas negeri dalam usaha memastikan tiada penularan wabak Covid-19.

"Ketika ini terdapat enam SJR ditempatkan di sempadan negeri di daerah SPU dan saya akan menambah jumlah itu menjelang sambutan Aidilfitri bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk pulang berhari raya, malah pasukan pemantau Ops Covid juga ditambah daripada 20 kepada 40 pasukan dengan kekuatan 350 pegawai dan anggota polis," katanya kepada pemberita di sini awal pagi Ahad.

Beliau ditemui selepas mengadakan operasi bersepadu bersama pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri di dua bazar Aidilfitri di daerah SPU serta pemeriksaan di SJR Bertam di sini.

Sementara itu, Noorzainy berkata, penganjur bazar Aidilfitri di Midtown Kubang Menerong, Tasek Gelugor di sini dikompaun RM20,000 selepas didapati gagal memastikan pengunjung mengamalkan penjarakan fizikal dalam pemeriksaan yang dijalankan pihaknya.

Katanya, polis mengeluarkan kompaun itu selepas pihaknya mendapati penganjur masih gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) biarpun telah diberi amaran dalam pemeriksaan sebelum ini.

Beliau berkata, MBSP turut mengeluarkan notis supaya penganjur mengambil langkah penambahbaikkan terutama memastikan tidak berlaku kesesakan dalam bazar Aidilfitri itu dalam kadar segera dan jika gagal berbuat demikian pihaknya akan mengarahkan penutupan bazar tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: