Kes meningkat, wad biasa jadi katil kritikal: Dr Noor Hisham

Ekoran peningkatan kes Covid-19 di negara ini, sebanyak 80 katil rawatan kritikal diwujudkan secara 'repurposed' di hospital sekitar Lembah Klang. Gambar kecil: Dr Noor Hisham
Ekoran peningkatan kes Covid-19 di negara ini, sebanyak 80 katil rawatan kritikal diwujudkan secara 'repurposed' di hospital sekitar Lembah Klang. Gambar kecil: Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR- Ekoran peningkatan kes Covid-19 di negara ini, sebanyak 80 katil rawatan kritikal diwujudkan secara 'repurposed' di hospital sekitar Lembah Klang, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, jumlah katil itu akan ditambah mengikut keperluan di wad biasa bersesuaian yang ditukar fungsi kepada katil kritikal. Beliau turut meminta masyarakat berperanan untuk bersama-sama membantu KKM dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Terdapat peningkatan dalam jumlah pesakit Covid-19 yang kritikal tetapi diberi bantuan pernafasan di wad biasa akibat kekosongan katil ICU (Unit Rawatan Rapi) yang terhad," katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Dr Noor Hisham turut memberitahu sebahagian ruang pemerhatian Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh dijadikan sebagai ICU Covid-19.

"Pengurusan ketersediaan katil rawatan kritikal di hospital COVID-19 Lembah Klang dilakukan secara bersepadu di bawah seliaan Pusat Kawalan Bersepadu COVID-19 atau Unified Command Centre (UCC) Wilayah Tengah.

"Kaedah pemantauan dan pengurusan yang lebih efisien ini membolehkan pesakit di hospital Lembah Klang dapat dipindahkan dari satu hospital ke hospital lain yang mempunyai kekosongan katil rawatan kritikal.

"Terdapat tujuh hospital yang dikhususkan untuk rawatan pesakit Covid-19 termasuk sebuah hospital universiti di Lembah Klang yang merangkumi Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya.



Semalam, media melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati peningkatan kes dan kadar penggunaan kapasiti kesihatan di negeri dan Wilayah Persekutuan di Lembah Klang adalah amat membimbangkan.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, sekiranya trend peningkatan kes Covid-19 itu berterusan, kapasiti kesihatan akan berada pada tahap yang kritikal dan akan memberikan impak negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.

“Menurut statistik yang dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan, kadar penggunaan katil kritikal/ICU Covid-19 terkini didapati melebihi 70 peratus di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

“Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil kritikal/ICU Covid-19 pada kadar melebihi 50 peratus. Ini berpunca daripada peningkatan kemasukan kes kritikal sebanyak 62 peratus berbanding tempoh dua minggu yang lepas,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Negara pada Sabtu merekodkan 2,881 jangkitan baharu Covid-19 dengan 15 kes kematian.