Cabaran besar PNB

No Image Caption
A
A
A

PELETAKAN jawatan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) mulai 30 April selepas tiga tahun berkhidmat tidaklah memeranjatkan.

Orang ramai yang berminat mengenai ekonomi atau tahu sedikit sebanyak mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tentu telah maklum mengenai dakwaan keterbabitan Zeti dalam skandal itu.

Banyak berita mengenainya telah dilaporkan media massa arus perdana serantau dan antarabangsa walaupun media massa tempatan agak keberatan menyiarkannya secara terperinci.

Apa yang mungkin telah diketahui audiens media arus perdana tempatan adalah penafian berulang kali oleh Zeti bahawa beliau dan keluarganya terlibat dengan skandal 1MDB.

Bagi yang memahami skandal 1MDB, penafian bekas Gabenor Bank Negara itu tidak cukup kuat atau meyakinkan.

Pertama, ketika duit 1MDB mula dilencongkan ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di AmBank, Zeti ialah Gabenor Bank Negara.

Bank Negara tahu mengenai pengaliran masuk duit sebanyak kira-kira AS$680 juta (RM2.8 bilion pada kadar tukaran sekarang) dari luar negara ke dalam akaun peribadi Najib. Tugas mengawasi pengaliran keluar masuk duit adalah tanggungjawab Bank Negara.

Penafian Zeti bahawa beliau dan keluarganya tidak terbabit menerima duit 1MDB bolehlah disifatkan sebagai hujah teknikal.

Artikel Berkaitan:

Berita mengenai hal itu tidak menuduh Zeti atau ahli keluarganya menerima duit 1MDB. Dakwaannya adalah mengenai suami Zeti, Tawfiq Ayman dan salah seorang anak mereka menerima wang daripada Jho Low. Banyak berita telah disiarkan mengenai dakwaan bahawa Jho Low rapat dengan keluarga Zeti.

Mengenai PNB pula, apa yang berlaku kepada Zeti sepatutnya menjadi petunjuk dan pengajaran dalam usaha mencari pengganti yang sesuai.

Orang itu wajiblah seorang yang berwibawa dan cemerlang. Laporan media mengatakan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria akan menggantikan Zeti.

Memandangkan apa yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pengerusi baharu PNB wajiblah seorang yang amanah, berwibawa dan faham mengenai urus niaga korporat.

Tidak ada maknanya bagi PNB sebagai tabung pelaburan bumiputera terulung di Malaysia berbangga dengan AUM (aset bawah pengurusan) sebanyak RM323 bilion dan membayar gaji besar kepada eksekutif kanan jika dividen kepada pelabur skim amanah sahamnya semakin tahun semakin rendah.

Bagi tahun kewangan 2020, PNB membayar dividen ciput 4.25 peratus untuk skim ASB iaitu yang terendah dalam sejarah sejak dilancarkan pada 1981. Pelabur ASB pernah menerima dividen sehingga 13.25 peratus iaitu pada pertengahan tahun 1990-an.

Gaji kakitangan kanannya pula cukup lumayan. Ambil contoh, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif kecuali Abdul Jalil Rasheed, yang pakej upahannya dalam lingkungan RM100,000 sebulan, pendahulunya menerima upah dari RM300,000 hingga RM400,000 sebulan (ya, sebulan bukan setahun!).

Bagaimanapun, pulangan pelaburan tidaklah sehebat mana. Kebelakangan ini dilaporkan pula beberapa perkongsian raksasa dengan segelintir bumiputera terpilih telah mengalami masalah kemerosotan nilai yang sangat teruk.

Hatta, pelaburan legasi yang dipindahkan oleh kerajaan kepada PNB dengan harga kos pada awal tahun 1980-an pun semakin tidak berdaya maju.

Jelaslah PNB memerlukan pembaikpulihan menyeluruh bagi menghadapi suasana ekonomi yang semakin sukar dan menyekat dividen skim amanahnya daripada terus merudum, bermula dengan pelantikan seorang pengerusi yang berwibawa dan berwawasan.

Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara