Jaguh kapal selam Asia Tenggara

A
A
A

TENTERA Laut Indonesia disahkan kehilangan sebuah kapal selam yang dibina di Jerman Barat pada tahun 1970-an iaitu KRI Nanggala 402 pada 25 April lalu di perairan laut utara Bali ketika menyertai satu latihan ketenteraan negara itu.

Kapal selam diesel-elektrik yang mula digunakan oleh tentera negara tersebut sejak Oktober 1981 dan berkhidmat hampir 40 tahun serta mempunyai sistem persenjataan torpedo itu pecah kepada tiga bahagian apabila ditemui pada kedalaman 838 meter (m) di perairan tersebut.

Punca sebenar kejadian itu masih belum diketahui.

Namun, Ketua Staf Tentera Laut Indonesia, Laksamana Yudo Margono pada 24 April lalu berkata, siasatan awal menunjukkan kapal itu musnah bukan disebabkan kesilapan manusia dan ‘black out’ atau matinya kuasa elektrik tetapi lebih kepada sebab-sebab alam semula jadi.

Penolong Ketua Staf Tentera Laut Indonesia, Laksamana Muda, Muhammad Ali pula berkata pada 28 April lalu bahawa insiden itu berlaku mungkin disebabkan oleh faktor arus bawah laut namun siasatan masih lagi diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kapal selama tersebut terbelah tiga.

Jurucakap Tentera Laut Indonesia, Julius Widjojono pernah berkata bahawa hubungan dengan KRI Nanggala 402 itu dipercayai terputus ketika ia berada pada kedalaman 600m hingga 700m di bawah laut sedangkan kapal selam itu direka hanya untuk berada pada kedalaman 500m.

Ekoran kehilangan itu, pendakwah terkenal, Ustaz Abdul Somad dalam akaun Instagram milik beliau pada 26 April lalu mengajak penduduk Indonesia menyumbangkan wang bagi membeli sebuah kapal selam bagi menggantikan KRI Nanggala 402.

Sehingga hari ini, Tentera Laut Indonesia mempunyai empat kapal selam selepas kehilangan KRI Nanggala 402.

Artikel Berkaitan:

Indonesia masih menggunakan kapal selam KRI Cakra 401 berkuasa diesel-elektrik buatan Jerman Barat pada tahun 1970an dan kapal selam KRI Nagapasa 403 yang mula digunakan pada tahun 2017 selepas dinaik taraf daripada kapal selam kelas Chang Bogo dari Korea Selatan. Kapal selam KRI Nagapasa 403 itu dibina oleh syarikat Pembinaan Kapal Daewoo & Kejuruteraan Marin (DSME) di Korea Selatan.

Dua lagi kapal selam yang masih beroperasi di Indonesia ialah KRI Ardadeli yang digunakan pada Mei 2018 dan dibina hasil kerjasama dengan DSME, Korea Selatan serta kapal selam buatan Indonesia, KRI Alugoro 405. Indonesia merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang membina kapal selam.

Kapal selam berkuasa diesel-elektrik itu mula digunakan sejak Mac lalu dan dibina oleh syarikat Indonesia iaitu PT PAT, dilengkapi teknologi canggih, boleh menghadapi peperangan di dalam laut, mampu membawa 40 kru serta belayar sehingga 50 hari.

Namun, bilangan kapal selam Indonesia tidak mampu mengatasi Vietnam yang mempunyai enam kapal selam dan yang paling banyak di rantau Asia Tenggara buat masa ini.

Kapal selam keenam Vietnam yang juga berkuasa diesel-elektrik iaitu HQ-187 Ba Ria-Vung Tau buatan Rusia dan mula digunakan sejak Januari tahun 2007.

Pada awal tahun 2014 dan 2015, Rusia telah menghantar empat kapal selam yang dibeli Vietnam.

Menurut portal berita Xinhua, kapal selam negara yang kelima juga buatan Rusia tiba di negara tersebut pada awal Februari 2016.

Singapura sebelum ini mempunyai empat kapal selam terpakai buatan syarikat pertahanan Sweden iaitu Kockums.

Namun, ia kini dalam proses menggantikan empat kapal selam buatan Sweden dengan kapal selam buatan Jerman.

Malaysia pula mempunyai dua buah kapal selam buatan syarikat dari Perancis.

Sementara Myanmar mempunyai sebuah kapal selam buatan Kesatuan Soviet yang bukan dibeli oleh negara itu tetapi dihadiahkan oleh kerajaan India pada tahun lalu.

Kapal selam yang pernah mula digunakan oleh Tentera Laut India pada tahun 1988 itu dihadiahkan kepada Myanmar sebagai menghargai hubungan baik antara kedua-dua buah negara.

Kesemua kapal selam yang digunakan oleh negara-negara di Asia Tenggara dikuasai oleh enjin diesel-elektrik.

Tujuh negara lain di Asia Tenggara masih lagi tidak mempunyai kapal selam.

Bagaimanapun, Indonesia dikatakan merancang untuk membeli tiga lagi kapal selam selepas tragedi kapal selam Nanggala 402 itu.

Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto berkata pada 22 April lalu bahawa, pihaknya sudah menguji tiga kapal selam baharu di Korea Selatan dan ujian masih dilakukan.

Jika tiga kapal selam baharu dibeli dan Vietnam kekal dengan enam buah kapal selam, Indonesia akan menjadi jaguh kapal selam di Asia Tenggara.