Orang ramai manfaat cuti Hari Pekerja beli kelengkapan raya

Orang ramai berbaris masuk ke kawasan niaga di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur untuk membeli-belah pada Sabtu.
Orang ramai berbaris masuk ke kawasan niaga di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur untuk membeli-belah pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai memanfaatkan cuti umum Hari Pekerja dengan meluangkan masa bersama keluarga dan rakan membeli-belah kelengkapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Tinjauan Sinar Harian pada Sabtu mendapati orang ramai berpusu-pusu membeli barangan seperti baju dan kasut di beberapa kawasan yang menjadi tumpuan di ibu negara, antaranya Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) dan Masjid India.

Ahli perniagaan, Norhaslinda Jaafar, 45, berkata, persediaan raya pada tahun ini adalah sederhana sahaja memandangkan beliau dan ahli keluarganya tidak dapat pulang beraya di kampung halaman berikutan larangan rentas negeri.

“Selalunya kami sekeluarga akan pulang beraya di kampung tetapi tahun ini kita dilarang untuk rentas negeri.

“Walaupun tak boleh balik, kami masih lagi ada komuniti seperti jiran. Jadi, kemeriahan hari raya tahun ini turut dirasai,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Tambah Norhaslinda, beliau dan keluarga gemar membeli-belah di sekitar kawasan berkenaan kerana senang dan barangan mudah didapati.

“Memandangkan saya orang Rawang, jadi memang setiap tahun akan datang ke sini untuk membeli baju raya. Baju Melayu dan baju kurung di sini pun senang nak cari. Tinggal pilih sahaja,” katanya.

Pekerja swasta, Nurul Bariah Yunus, 33, berkata, persiapan raya tahun ini juga sederhana dengan hanya membeli barangan ikut keperluan.

Artikel Berkaitan:

“Saya ada tiga orang anak. Saya datang ke sini pun memang cari baju raya untuk mereka sahaja.

“Perasaan nak sambut raya pun sama sahaja dengan raya sebelum ini. Nak balik raya kat kampung, mak ayah sudah tiada. Jadi, sambut dengan suami dan anak-anak sahaja,” ujarnya.

Bagi Pembantu Pejabat, Syahira Supandi, 23, beliau mengambil peluang sempena cuti umum ini untuk mencari barang keperluan raya selain meluangkan masa bersama keluarga.

“Dari segi persiapan memang ala kadar sahaja kerana kita masih lagi dilanda pandemik Covid-19. Nak sambut lebih-lebih pun tak boleh,” katanya.

Syahira turut menasihati orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang musim perayaan nanti.

“Untuk bendung Covid-19 ini, kita perlu mengelakkan amalan kunjung-mengunjung. Kita tak boleh degil dengan tak patuh SOP.

“Walaupun kita fikir tak nampak pun virus tu tapi sebenarnya ia wujud. Jadi, kita kena patuh. Ini pun untuk keselamatan kita," katanya.