X

Kindly register in order to view this article
!

MAIWP agih RM2.4 juta untuk pelbagai skim bantuan di Labuan

Ahmad Marzuk menyerahkan sumbangan duit raya kepada seorang anak yatim pada Majlis Ramah Mesra YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Isteri Bersama Anak-Anak Yatim serta Asnaf di Kompleks Darul Kifayah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan hari ini. - Foto Bernama
A
A

LABUAN - Sejumlah RM2.44 juta diagihkan untuk pelbagai skim bantuan di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sepanjang minggu kedua bulan Ramadan di pulau bebas cukai di sini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, ia adalah bagi Bantuan Ihya’ Ramadan, Program Dapur It’am, Musaadah Tijariyah (untuk aktiviti perniagaan dan tambahan modal permulaan perniagaan), golongan mualaf (individu yang memeluk Islam) skim bantuan dapur bagi asnaf (individu yang layak menerima zakat) dan skim bantuan wakaf untuk Hospital Nuqleus Labuan.

“Sebanyak RM759,000 telah diagihkan semalam (Jumaat) bagi Program Dapur It’am untuk menyediakan makanan dan minuman berbuka puasa kepada golongan asnaf, petugas barisan hadapan serta mereka yang memerlukan, RM1.23 juta bagi Program Musaadah Tijariyah, RM271,000 untuk surau dan masjid bagi aktiviti keagamaan manakala selebihnya untuk program lain,” katanya pada Majlis Ramah Mesra bersama Anak Yatim dan Asnaf di Kompleks Darul Kifayah di sini pada malam Sabtu.

Beliau juga berkata, projek pembinaan Masjid Sungai Bedaun yang bernilai RM8.6 juta hampir siap dan dijangka beroperasi pada Jun tahun ini.

“Saya telah melawat tapak projek itu hari ini dan mendapati ia kini sudah siap 80 peratus... Saya juga telah melawat projek baharu iaitu sebuah sekolah agama di Kampung Sungai Bedaun yang kosnya dianggarkan lebih RM70 juta serta beberapa masjid yang sedang dibaik pulih dan menelan belanja sebanyak RM2.3 juta,” katanya.

Ahmad Marzuk berkata, kerja-kerja di semua masjid yang sedang dibaik pulih berjalan mengikut jadual meskipun berdepan penularan pandemik Covid-19.

“MAIWP Labuan sedang berusaha sedaya-upaya untuk menyediakan kemudahan yang kondusif bagi memudahkan komuniti Islam di Labuan beribadat,” katanya.

Terdahulu, beliau memberikan duit raya kepada 92 kanak-kanak golongan Asnaf sempena sambutan Aidilfitri yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat tahunan MAIWP. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!