X

Kindly register in order to view this article
!

KPM tetapkan empat kaedah pergerakan pulang pelajar

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan empat kaedah perjalanan untuk pelajar asrama sekolah, Kolej Tingkatan Enam (KTE) dan Kolej Vokasional (KV) yang dibenarkan pulang bersempena Hari Raya Aidilfitri.

Menurut kenyataan KPM pada Sabtu, kaedah itu ialah dengan menaiki bas yang disediakan pihak sekolah atau dijemput ibu bapa atau penjaga.

"Pelajar juga dibenarkan pulang menggunakan pengangkutan udara atau air (Sabah, Sarawak dan Labuan) atau menggunakan kenderaan sendiri bagi pelajar KTE dan pelajar KV," menurut kenyataan itu.

Pelajar dibenarkan pulang secara berperingkat mulai 6 Mei bagi sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 7 Mei bagi sekolah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Pihak sekolah, KTE dan KV akan memaklumkan jadual pergerakan pulang murid kepada ibu bapa atau penjaga selain mengeluarkan surat pengesahan untuk setiap pelajar bagi tujuan pergerakan merentas negeri atau zon sekiranya mereka dijemput ibu bapa.

Menurut KPM, kebenaran itu adalah untuk dua orang iaitu ibu bapa atau penjaga sahaja dalam setiap kenderaan.

Merujuk prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), pelajar yang sedang dalam tempoh kuarantin perlu kekal berada di asrama hingga tamat tempoh kuarantin dan murid yang asramanya berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga perlu kekal berada di asrama hingga tamat tempoh PKPD.

KPM menyediakan Garis Panduan Pengurusan Murid Asrama Pulang Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 2021 sebagai rujukan kepada semua pihak terlibat termasuk Institusi Pendidikan Swasta yang berdaftar dengan KPM.

Garis panduan berkenaan boleh dimuat turun di laman sesawang: https://www.moe.gov.my. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!