Bank Pembangunan lantik Zaiton Mohd Hassan sebagai Pengerusi

A
A

KUALA LUMPUR - Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) melantik Datuk Zaiton Mohd Hassan sebagai pengerusi bebas bukan eksekutifnya berkuat kuasa hari ini, bagi tempoh dua tahun selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

Zaiton menggantikan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, yang bersara pada November 2018, dan merupakan pengerusi BPMB ke-11 sejak ia ditubuhkan 45 tahun lalu.

“Zaiton telah membina kerjaya eksekutif yang memberangsangkan dalam bidang perbankan dan perakaunan dengan rekod prestasi kukuh dalam bahagian tadbir urus, risiko dan audit, di sektor swasta dan institusi kepentingan awam.

“Pelantikan beliau akan mengukuhkan standard tadbir urus korporat bank dan membawa kepimpinan yang padu bagi membantu BPMB merealiasikan potensi penuhnya sebagai institusi kewangan pembangunan,” kata bank itu dalam satu kenyataan hari ini.

BPMB berkata Zaiton, felo dan ahli majlis Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun akan membawa bersamanya pengalamannya selama 40 tahun dalam sektor perbankan dan kewangan termasuk 12 tahun bersama Maybank, dalam pelbagai jawatan kanan.

“Beliau juga menubuhkan Malaysian Rating Corporation Bhd pada 1996 dan merupakan presiden dan pengarah eksekutifnya sehingga 2004,” kata bank itu. - Bernama