Keputusan Najib cabar pelantikan Sri Ram, Rabu ini

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan permohonan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatkan kebenaran mahkamah bagi mencabar pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes-kes yang dihadapi mereka, akan diketahui Rabu ini.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang bertindak bagi pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata Hakim Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas Datuk Azizah Nawawi turut menetapkan tarikh sama untuk keputusan bantahan awal dikemukakan AGC terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman berkenaan.

Shamsul berkata Hakim Azizah menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya selepas mendengar hujahan pihak-pihak terlibat.

Shamsul berkata pihaknya berhujah bahawa berlaku pertindihan dalam kedua-dua permohonan berkenaan berikutan kedua-dua pemohon (Najib dan Muhammad Shafee) telah mengemukakan permohonan sama membabitkan isu yang sama di Mahkamah Tinggi Jenayah.

"Oleh itu, pihak kami berhujah bahawa kedua-dua permohonan itu patut didengar di Mahkamah Tinggi Jenayah kerana kedua-duanya mempunyai asas yang sama," katanya.

Sementara itu, peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Muhammah Shafee berkata kedua-dua permohonan itu adalah berbeza kerana di Mahkamah Sivil isunya adalah berhubung sama ada pelantikan Sri Ram oleh AGC selaku Timbalan Pendakwa Raya Kanan adalah sah dan dibuat secara teratur serta munasabah.

"Manakala di Mahkamah Tinggi Jenayah, ia membabitkan permohonan pihaknya bagi perintah supaya Sri Ram menarik diri atau membatalkan pelantikannya daripada mengetuai dan mengendalikan kes berkenaan," katanya.

Najib dan Muhammad Shafee selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman itu secara berasingan pada Dis tahun lepas dengan menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya selaku responden pertama dan Kerajaan Malaysia serta Sri Ram selaku responden kedua dan ketiga.

Artikel Berkaitan:

Dalam kedua-dua permohonan itu, mereka memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden pertama yang tidak mengemukakan kepada mereka salinan surat pelantikan responden ketiga (Sri Ram) mengetuai pasukan pendakwaan yang dilakukan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah.

Mereka turut memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menolak pelantikan Sri Ram berikutan surat pelantikan itu adalah tidak sah selain memohon pengisytiharan bahawa terdapat konflik kepentingan berhubung pelantikan itu.

Turut dipohon perintah untuk melarang Sri Ram daripada terus mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes yang dihadapi mereka termasuk rasuah, salah guna jawatan dan pengubahan wang haram. - Bernama