Hukuman tegas, setimpal terhadap pesalah kes kematian bayi

Rina Harun - Foto Bernama
Rina Harun - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mahu pesalah yang menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan, Selasa lepas dikenakan hukuman tegas dan setimpal.

Justeru, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam kenyataan pada Sabtu meminta pihak berkuasa menyiasat dengan teliti kes yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan itu.

Semalam, media melaporkan polis telah menahan pengasuh wanita dan suaminya di sebuah rumah di pangsapuri Jalan PJU 1A/42, Petaling Jaya selepas disyaki membunuh seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan.

Menurut laporan media, hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan lebam di bahagian mulut dan cedera di bahagian dubur mangsa.

Bagi memastikan kes seumpama itu tidak berulang, Rina menasihati ibu bapa membuat penilaian menyeluruh sebelum memilih pengasuh dan maklumat berkaitan pengasuh berdaftar boleh diperoleh di laman rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat di jkm.gov.my.

Selain itu, Rina menggesa masyarakat masyarakat menjadi mata dan telinga kepada pihak kerajaan dengan memupuk sikap ambil peduli dan melaporkan sebarang kecurigaan berlaku di kawasan kediaman masing-masing kepada pihak berkuasa.

Laporan boleh dibuat melalui Talian Kasih 15999, talian WhatsApp 019-26 15999 yang beroperasi 24 jam atau di 108 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah di seluruh negara serta balai polis berhampiran. - Bernama

Artikel Berkaitan: