Sempat jamah char kuetiau sebelum maut kemalangan

Lokasi kemalangan membabitkan dua motosikal yang mengorbankan dua nyawa dekat Sanglang, Benut, Pontian pada Sabtu. (Gambar kecil: Anuar Abdullah)
Lokasi kemalangan membabitkan dua motosikal yang mengorbankan dua nyawa dekat Sanglang, Benut, Pontian pada Sabtu. (Gambar kecil: Anuar Abdullah)
A
A
A

PONTIAN - "Arwah sempat jamah char kuetiau ketika sahur pagi tadi," kata Rohayu Idris, 30, iaitu isteri kepada anggota bomba, Anuar Abdullah, 33, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 80.4 Jalan Johor Bahru-Batu Pahat, dekat Sanglang di sini pada pagi Sabtu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.20 pagi itu, Anuar yang menunggang motosikal jenis Kawasaki maut di lokasi kejadian selepas terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal lain jenis Honda.

Rohayu berkata, dia bersama Allahyarham dan anak mereka berusia empat tahun pulang ke rumah ibu suaminya itu di Kampung Parit Suloh, Batu Pahat pada Jumaat.

Bagaimanapun, katanya, Allahyarham Anuar pulang ke rumah sewa di Benut, Pontian selepas Subuh pada Sabtu untuk mengambil suplemen yang dihantar menerusi pos.

"Arwah beritahu dia akan balik semula Batu Pahat selepas ambil barang di rumah sewa kami di Benut. Saya ada menghubunginya pada jam 9 pagi tetapi tidak berjawab.

"Kemudian pada jam 10.40 saya mendapat panggilan memaklumkan arwah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Sanglang," katanya ketika ditemui di pekarangan bilik forensik Hospital Pontian di sini pada petang Sabtu.

Iqbal (kiri) bertanya sesuatu kepada Rohaya (duduk di kanan) ketika di pekarangan bilik forensik Hospital Pontian pada Sabtu.
Iqbal (kiri) bertanya sesuatu kepada Rohaya (duduk di kanan) ketika di pekarangan bilik forensik Hospital Pontian pada Sabtu.

Rohayu yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tanjung, Benut berkata, jenazah suaminya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Suloh, Batu Pahat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba Iqbal Raduan berkata, Allahyarham seorang anggota bomba yang rajin dan baik serta disenangi rakan-rakan.

Beliau berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada BBP Pontian Baru.

"Hampir dua tahun arwah sudah bertugas di BBP Pontian Baru. Sebelum itu arwah bertugas di BBP Kuala Kubu Baru Selangor setelah tamat latihan pada tahun 2010," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, kemalangan membabitkan dua motosikal iaitu jenis Kawasaki dan Honda.

Beliau berkata, penunggang motosikal Honda merupakan seorang warga emas berusia 74 tahun turut meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Kedua-dua penunggang terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.