PKPD di Kampung Bergosong Tawau bermula esok

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di Kampung Bergosong, Tawau di Sabah bermula esok hingga 15 Mei berikutan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di kampung itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu dibuat selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP.

"Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 59 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 22 kes positif direkodkan dalam tempoh satu minggu.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar," katanya dalam kenyataan mengenai PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah di Kelantan yang dijadual tamat esok, dilanjutkan dari 3 hingga 16 Mei.

"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 866 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 422 kes positif telah direkodkan.

KKM melaporkan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penghuni di kawasan PKPD serta terdapat enam baki sampel saringan yang belum mempunyai keputusan," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di seluruh Kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu tamat esok seperti yang dijadualkan manakala PKPD di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kota Kinabalu, tamat hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Bagi PKPD di Kampus UMS, KKM telah melaksanakan 5,611 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 35 daripadanya didapati positif. KKM melaporkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang menunggu keputusan.

Bagi penamatan PKPD di SMKA Kota Kinabalu, KKM melaksanakan 836 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 190 daripadanya didapati positif. KKM melaporkan terdapat penurunan kes serta kluster adalah terkawal,” katanya.

Ismail Sabri berkata, sejumlah 286 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam dengan 284 orang dikenakan kompaun manakala dua direman.

Operasi Benteng pula menyaksikan tiga pendatang tanpa izin ditahan manakala lima kenderaan darat dirampas, semalam, katanya.