Kaji cadangan empat lorong di Masjid Tanah

Sulaiman dan Ahmad (kiri) ketika melawat gerai jualan di Pasar Tani FAMA sempena program Jelajah Ramadan 2021di Pasar Tani Masjid Tanah di sini, pada Sabtu.
Sulaiman dan Ahmad (kiri) ketika melawat gerai jualan di Pasar Tani FAMA sempena program Jelajah Ramadan 2021di Pasar Tani Masjid Tanah di sini, pada Sabtu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kerajaan negeri meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat kajian sebelum pembinaan laluan empat lorong bagi mengurangkan kesesakan di kawasan Masjid Tanah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, pembinaan jalan akses baharu bertepatan dengan cadangan Daerah Masjid Tanah sekali gus merealisasikan pekan Masjid Tanah kepada bandar Masjid Tanah tidak lama lagi.

Menurutnya, sehingga kini Parlimen Masjid Tanah belum mempunyai sebarang laluan yang mudah diakses melalui jalan utama dan lebuh raya negeri ini sedangkan kepadatan penduduk dan jumlah kenderaan semakin bertambah.

"Pekan Masjid Tanah akan sesak ketika Ramadan dan menjelang hari raya. Kita fikir perlu mewujudkan satu laluan baharu empat lorong yang mudah diakses ke kawasan ini," katanya selepas menyempurnakan Jualan MyRakyat 'Melaka Agro Market' sempena program Jelajah Ramadan 2021di Pasar Tani Masjid Tanah di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) I, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua Pengarah lembaga Pemasaran Pertanian (FAMA), Datuk Zainal Abidin Razalli.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, FAMA negeri akan melaksanakan beberapa program seperti Jualan Pra Syawal melalui outlet-outlet FAMA bagi merancakkan ekonomi usahawan sepanjang bulan Ramadan.

"Penganjuran program ini pastinya akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penganjuran program ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya.

Artikel Berkaitan: