Pesakit Covid-19 di Kelantan lebih ramai lelaki

Jumlah kaum lelaki yang dijangkiti Covid-19 di negeri ini jauh lebih tinggi berbanding wanita. Gambar hiasan Foto 123RF
Jumlah kaum lelaki yang dijangkiti Covid-19 di negeri ini jauh lebih tinggi berbanding wanita. Gambar hiasan Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Jumlah kaum lelaki yang dijangkiti Covid-19 di negeri ini jauh lebih tinggi berbanding wanita.

Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, ia dapat dilihat menerusi jumlah kemasukan pesakit ke lima PKRC yang dibuka di negeri ini.

Menurutnya, empat PKRC dikhaskan untuk lelaki, manakala satu sahaja PKRC untuk golongan wanita ketika ini.

Malah, katanya, PKRC keenam yang akan dibuka di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian pada Isnin ini juga dikhaskan untuk lelaki.

“Secara khususnya, kita mempunyai empat PKRC untuk lelaki dan satu untuk wanita. Sama juga dengan pelajar, lebih ramai pesakit lelaki berbanding wanita.

"Mereka yang tinggal di PKRC ini bermula daripada umur lima hingga 60 tahun, tapi ada antara mereka yang mengalami komplikasi penyakit akan ditempatkan di hospital,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, sehingga kini Dewan Jubli Perak, Dewan Kompleks Belia dan Sukan dan HUSM antara tiga lokasi besar yang menempatkan pesakit lelaki termasuk ada antaranya bersama keluarga.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lokasi yang mungkin dijadikan PKRC sekiranya jumlah pesakit terus meningkat, namun keputusan terletak kepada situasi semasa penularan pandemik tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Mereka yang ditempatkan di PKRC adalah daripada kategori satu dan dua. Namun ia boleh berubah ke kategori tiga dan empat. Sebab itu kita perlukan PKRC yang berada berdekatan dengan hospital induk Covid-19 iaitu Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan Hospital Tumpat.

“PKRC yang agak jauh dari hospital sekarang ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor memandangkan mereka yang ditempatkan di PKRC tersebut adalah pelajar yang mempunyai risiko rendah.

“Kita memang ada menerima cadangan untuk mewujudkan PKRC di Kompleks Balai Islam Lundang dan Dewan Kebudayaan dan Kesenian Negara di Tanjong Chat. Namun semuanya akan tertakluk kepada situasi semasa penularan wabak berkenaan,” kata beliau.