PKR boleh bekerjasama dengan semua parti

Antara barisan kepimpinan PKR Cabang Rasah.
Antara barisan kepimpinan PKR Cabang Rasah.
A
A
A

SEREMBAN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan tiada masalah jika parti itu menjalin kerjasama dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum 15 (PRU 15).

Naib Pengerusi 1 PKR negeri, Datuk Ismail Ahmad berkata, perkara tersebut bukan sesuatu yang mustahil dalam suasana politik sekarang.

Ismail Ahmad
Ismail Ahmad

"Saya rasa tidak mustahil (gabungan UMNO-PKR) kalau itu boleh memberi kesan positif kepada kemajuan kaum. Kalau kita boleh kerja dengan DAP dengan syarat tertentu, begitu juga kita boleh terima mana-mana parti dengan syarat yang dibincangkan oleh pimpinan tertinggi.

"Bagi saya tidak ada masalah pun kalau PKR menjalin kerjasama dengan UMNO kerana sebelum ini kita pernah bergabung dengan Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air). Dulu kita pernah cerca, maki dan kata macam-macam tetapi akhirnya kita bergabung juga. Dalam politik apa pun boleh berlaku.

"Saya yakin ahli PKR juga tiada masalah untuk menerima kerjasama ini kerana paling penting ekonomi kita menjadi lebih baik, pelaburan masuk dan semua pengeluaran duit ada tanggungjawab, tidak boleh suka-suka hati boleh ambil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Rasah 2020, di Pejabat Khidmat DUN Labu pada Sabtu.

Tambah Ismail yang juga Ketua Cabang PKR Rasah, kerjasama itu boleh berlaku sebelum atau selepas pilihan raya namun jika gabungan berlaku sebelum pilihan raya, dapatlah pulihkan kerajaan secara bersama.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ismail memberitahu, mesyuarat PKR Cabang Rasah mengusulkan cadangan menolak kerjasama sepenuhnya dengan Dr Mahathir.

Katanya, cukuplah sekali Pakatan Harapan bergabung dengan beliau, tidak akan ada lagi.

"Kerajaan Pakatan Harapan hancur bukan disebabkan orang luar tetapi orang dalam sendiri yang mengkhianati parti," katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa PKR Cabang Rasah, menyokong sebulat suara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri kesembilan selepas menang dalam pilihan raya nanti.