UPKO pungut derma bantu peniaga sinalau bakas dikompaun

George Teo
George Teo
A
A
A

KOTA KINABALU - Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) melancarkan pungutan derma bagi membantu dua peniaga gerai makanan dan dua lagi individu yang dikompaun dengan nilai keseluruhan sebanyak RM120,000 di Jalan Sulaman Tuaran, pada Isnin lalu.

Timbalan Bendahari Agung UPKO, George Teo berkata, derma itu untuk membantu peniaga sinalau bakas (babi hutan panggang), Rayner Longtin, 32, dan seorang lagi peniaga di gerai bersebelahan yang masing-masing dikenakan kompaun RM50,000.

"Kedua-dua peniaga kini tertekan dengan jumlah kompaun yang tinggi sedangkan pendapatan mereka umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

"Dua lagi yang dikompaun ialah rakan kepada Rayner yang masing-masing dikenakan RM10,000 setiap seorang. Saya fikir ini tidak masuk akal kerana salah seorang rakan beliau ini masih menuntut di sekolah menengah," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut George, beliau memahami pihak berkuasa hanya menjalankan tanggungjawab.

"Namun, kita juga perlu melihat perkara ini dalam konteks yang menyeluruh. Sebelum kompaun dikeluarkan, sepatutnya kertas siasatan dibuka seperti beberapa kes yang dilaporkan melibatkan artis dan menteri.

"Biarlah tindakan penguat kuasa dibuat secara saksama untuk semua pihak tanpa ada istilah 'double-standard'," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Rayner mendakwa, beliau dikenakan kompaun ketika operasi gerainya hendak ditutup dan perkara itu dikongsikan di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali pada Jumaat memaklumkan bahawa tindakan kompaun yang dikenakan kepada peniaga sinalau bakas itu wajar.

Kompaun itu dikenakan selepas didapati berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selain memasang muzik dan berkaraoke sehingga lewat jauh malam.

ARTIKEL BERKAITAN:Kompaun RM50,000 kepada peniaga sinalau bakas wajar