Enam anak muda hasilkan panjut kapal selam KRI Nanggala-402

Panjut bentuk kapal selam KRI Nanggala-402 yang masih dalam proses untuk disiapkan, hasil kerja enam anak muda dari Kampung Bukit Merah, Semanggol. - Foto Azizul Hafiz
Panjut bentuk kapal selam KRI Nanggala-402 yang masih dalam proses untuk disiapkan, hasil kerja enam anak muda dari Kampung Bukit Merah, Semanggol. - Foto Azizul Hafiz
A
A
A

BAGAN SERAI - Berkongsi rasa simpati, enam anak muda dari Kampung Bukit Merah, Semanggol di sini mereka panjut berbentuk kapal selam KRI Nanggala-402 yang tenggelam di perairan Bali, Indonesia minggu lalu.

Bentuk kapal sepanjang hampir 8 meter dan tinggi mencecah 3 meter itu direka khusus sebagai penghormatan kepada 53 kru yang terkorban dan tanda sokongan kepada rakyat Indonesia.

Azizul Hafiz Mohd Nordin, 34, berkata, idea itu tercetus selepas melihat insiden kapal selam berkenaan memberi impak emosi yang cukup mendalam kepada rakyat di kebanyakan negara termasuk Malaysia yang bekerjasama dalam misi mencari dan menyelamat.

Menurutnya, dengan gabungan kepakaran bersama lima rakan lain iaitu Suhaimi Sani, Nadhir Muhamad, Ajwad Noh, Khairul Anuar dan Yazid berusia lingkungan 30-an, terhasil bentuk panjut berkenaan.

"Pada awalnya kami mahu membuat panjut berbentuk kapal biasa sahaja tetapi ada yang mencadangkan supaya buat bentuk kapal selam KRI Nanggala-402 sebagai tanda simpati terhadap nahas yang berlaku.

"Setelah berbincang dan mencari bahan-bahan yang diperlukan, dalam tempoh empat hari bentuk kapal selam ini berjaya disiapkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Kapal selam KRI Nanggala-402 berkenaan merupakan persiapan komuniti Kampung Bukit Merah yang mengambil bahagian dalam Pesta Panjut Ramadan anjuran UMNO Bahagian Bagan Serai.

Reka bentuk panjut itu dibangunkan di pekarangan CTC Bukit Merah bersama tiga yang lain iaitu panjut berbentuk rumah kampung, pintu gerbang dan kereta api elektrik (ETS).

Artikel Berkaitan:

Azizul Hafiz berkata, kerja-kerja membuat panjut itu kini mencapai 80 peratus.

Katanya, rangka kapal selam berkenaan dibuat menggunakan besi dan buluh yang kemudiannya ditebuk untuk dijadikan tempat meletak sumbu.

Mereka juga menggunakan bahan terbuang seperti tin minuman aluminium yang dijadikan dalam bentuk gulungan untuk sumbu pelita sebelum dimasukkan ke dalam lubang yang ditebuk pada buluh.

"Kami sekarang dalam peringkat akhir untuk menyiapkan kapal selam ini dan setakat ini lebih 120 panjut dan pelita telah digunakan.

"Kami lebih suka menggunakan pelita buluh kerana ia lebih nostalgia berbanding pelita lain. Walaupun sedikit remeh tetapi hasilnya sangat puas hati," katanya yang memaklumkan penilaian pertandingan pesta panjut itu akan dibuat bermula 6 Mei ini.

Kali terakhir pesta panjut diadakan di kawasan itu pada 2017 dan Kampung Bukit Merah berjaya meraih tempat ketiga menerusi panjut bentuk rumah kampung.