Kegiatan lelaki tempatan seleweng minyak masak terbongkar

Mohamad (tengah) menunjukkan minyak masak dalam paket yang disita dari sebuah premis selepas mengadakan sidang media pada Sabtu. - Foto Bernama (2021) Hak Cipta Terpelihara
Mohamad (tengah) menunjukkan minyak masak dalam paket yang disita dari sebuah premis selepas mengadakan sidang media pada Sabtu. - Foto Bernama (2021) Hak Cipta Terpelihara
A
A
A

SANDAKAN - Kegiatan seorang lelaki tempatan menyeleweng 1.7 tan (1,700 kg) minyak masak bersubsidi di sini berjaya ‘dihidu’ oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sandakan.

Ketua KPDNHEP Sandakan, Mohamad Hashim berkata, setelah risikan dilakukan selama seminggu di sebuah premis tidak bernombor di Batu 15 dekat sini, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan dan pihaknya merampas 100 kotak masing-masing berisi 17kg bungkusan minyak masak 1kg serta sebuah lori kira-kira 2.30 petang Khamis lepas.

"Suspek mengakui premis itu dan minyak masak berkenaan adalah miliknya. Suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Mohamad tidak menolak kemungkinan suspek cuba untuk menjual minyak masak itu ke negara jiran pada harga industri iaitu bukan pada harga subsidi bagi mengaut keuntungan lebih RM6,000 bagi 1.7 tan minyak masak itu.

Sementara itu, Mohamad turut mengingatkan kilang pembungkusan minyak masak bersubsidi agar tidak terlibat dalam aktiviti penyelewengan barangan kawalan itu atau berdepan tindakan undang-undang, termasuk kuota minyak masak bersubsidi ditarik balik oleh kementerian.

Menurutnya, individu yang menjalankan kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi syarikat pula berdepan denda RM2 juta atas kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata KPDNHEP Sandakan telah melaksanakan 2,466 pemeriksaan premis sejak 1 Jan hingga semalam (30 April) dan menemukan 60 kes pelbagai kesalahan membabitkan rampasan bernilai keseluruhan RM90,503.70. - Bernama