Permohonan vaksin AstraZeneca bermula esok: KJ

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemohon sukarela yang mahu menerima vaksin AstraZeneca boleh mendaftar di laman web vaksincovid.gov.my bermula esok (Ahad) pada Jam 12 tengah hari.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata, pemohon yang berdaftar boleh memilih tarikh dan pusat pemberian vaksin (PPV) bagi mendapatkan vaksin tersebut.

"Setelah memilih PPV dan tarikh, pemohon akan diberitahu mengenai masa vaksinasi mereka di MySejahtera atau melalui sms.

"PPV yang ditetapkan untuk vaksin AstraZeneca adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), World Trade Center KL (WTCKL) dan di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam.

"Berita mengenai sesetengah hospital yang mengambil tempahan bagi pemberian vaksin AstraZeneca adalah tidak benar," katanya dalam satu ciapan di Twitter pada Sabtu.

Katanya, pemberian vaksin tersebut hanya terbuka kepada 268,000 orang penduduk di sekitar negeri Selangor serta Kuala Lumpur yang pertama berjaya mendaftar di laman sesawang JKJAV.

"Sekiranya pemberian vaksin tersebut berjaya, JKJAV akan memulakan pemberian ke negeri lain bergantung kepada penghantaran vaksin itu," katanya

Pada Rabu, Khairy berkata, vaksin AstraZeneca akan diberikan secara sukarela menerusi PPV khas, dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tindakan itu diambil selepas menimbangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat ketika ini terhadap tahap keselamatan vaksin berkenaan yang sebelum ini dikaitkan dengan insiden pembekuan darah yang jarang berlaku di beberapa negara.