KSM semak perundangan perburuhan negara

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia akan terus membuat semakan semula ke atas aspek perundangan perburuhan negara sedia ada agar ia sesuai dan bertepatan dengan keperluan, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan undang-undang perburuhan negara relevan dengan senario semasa dalam memberi jaminan hak kebajikan, keselamatan dan kesihatan pekerja sentiasa dilindungi.

“Kerajaan mengiktiraf warga pekerja yang turut sama membantu memulihkan semula ekonomi negara," katanya dalam ucapan sempena Hari Pekerja 2021 yang disiarkan RTM pada Sabtu.

Katanya, selaras dengan tema sambutan Hari Pekerja pada tahun ini ‘Pembudayaan Norma Baharu Dalam Dunia Pekerjaan Sejagat’, golongan pekerja perlu membudayakan norma baharu pekerjaan dan bertindak dengan bijak dalam menghadapi persekitaran pekerjaan yang dinamik.

Saravanan berkata, Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2021-2025 yang kini di peringkat akhir bertujuan memperkasa amalan kerja selamat dan sihat demi kemakmuran negara.

Menurutnya pelaksanaan pelan induk berkenaan bakal memperkukuh hubungan strategik pemegang taruh dalam membudayakan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Saravanan berkata, kedudukan pasaran buruh negara dijangka pulih dari kesan pandemik Covid secara berperingkat.

Beliau berkata, pasaran buruh dijangka terus berada di landasan pemulihan terutamanya disokong oleh pemulihan permintaan global dan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: