Masjid terlibat kes positif Covid-19 ditutup elak penularan

Syeikh Ismi Anuar (tengah) bersama penguat kuasa agama mengadakan operasi pemantauan SOP di beberapa masjid sekitar Relau, pada Jumaat.
Syeikh Ismi Anuar (tengah) bersama penguat kuasa agama mengadakan operasi pemantauan SOP di beberapa masjid sekitar Relau, pada Jumaat.
A
A
A

BANDAR BAHARU - Masjid yang terlibat dengan kes positif Covid-19 kemungkinan ditutup bagi mengelakkan penularan yang lebih serius.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Datuk Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim berkata, pihaknya melaksanakan pemantauan di seluruh masjid di negeri ini untuk memastikan setiap jemaah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, bukan untuk mengekang aktiviti keagamaan di masjid.

Menurutnya, bagaimanapun terdapat jemaah tidak mengendahkan SOP mengakibatkan kes Covid-19 meningkat.

“Tolong ambil serius, kita bimbang penularan Covid-19 di masjid berkenaan meningkat sekiranya terus berlaku sikap tidak endah segelintir jemaah yang boleh menghalang aktiviti keagamaan terutama solat fardu,” katanya selepas mengadakan operasi pemantauan SOP di beberapa masjid sekitar Relau, pada Jumaat.

Syeikh Ismi Anuar berkata, inisiatif pemantauan ini difokuskan di kawasan berpotensi tinggi yang mengalami penularan wabak Covid-19 seterusnya diperluaskan ke seluruh daerah.

“SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan ialah memastikan penjarakan fizikal dipatuhi tetapi tahap kesedaran masyarakat di Kedah masih belum mencapai tahap yang sepatutnya kerana merekodkan peningkatan 120 kes pada Rabu,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, JHEAIK menyekat sebarang operasi di masjid seluruh negeri dengan mengehadkan kapasiti hanya kepada ahli jawatankuasa sahaja namun hasil perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kelonggaran diberikan untuk menjalankan semula aktiviti di masjid mengikut SOP ditetapkan.

“Sebagai institusi agama yang berperanan melaksanakan aktiviti mengimarahkan masjid, JHEAIK menyedari sekatan itu menimbulkan pelbagai pandangan negatif masyarakat, namun kita mengambil inisiatif demi mengekang pandemik Covid-19 agar aktiviti keagamaan dapat dilaksanakan seperti sebelumnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kes Covid-19 di Kedah meningkat sejak bulan lalu susulan wujud kluster baharu melibatkan aktiviti keagamaan di masjid.