Johor kenal pasti laluan penjualan kad Bas Muafakat

Mazlan (tiga,kanan) menyampaikan cek replika sumbangan kepada Kontinjen JKR Johor untuk menghadapi Sukan JKR Semalaysia tahun ini.
Mazlan (tiga,kanan) menyampaikan cek replika sumbangan kepada Kontinjen JKR Johor untuk menghadapi Sukan JKR Semalaysia tahun ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri sudah mengenal pasti beberapa laluan yang dikatakan berlakunya penjualan kad Bas Muafakat Johor kepada warga asing.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan, Mazlan Bujang berkata, maklumat itu diperoleh menerusi beberapa aduan serta pemantauan yang dilakukan sejak kebelakangan ini.

"Kita ada terima maklumat, buat masa ini beberapa laluan juga telah dikenal pasti bermasalah dan dipercayai memang berlaku penjualan kad ini kepada warga asing.

"Kebanyakan laluan yang digunakan warga asing ini adalah tertumpu di kawasan bandar dan yang paling diperhatikan sekarang adalah di Kulai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor ke Sukan JKR SeMalaysia 2019 di Dewan Serbaguna JKR Johor Bahru, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kerja Raya Johor, Ir Mohammad Salleh Abu Bakar.

Dalam perkembangan sama, berhubung penstrukturan semula laluan Bas Muafakat Johor itu, Mazlan berkata, tumpuan juga bukan diberikan penukaran laluan sahaja tetapi tahap efisyen perkhidmatan tersebut.

"Saya dapat maklumat ada kelemahan daripada urus tadbir Bas Muafakat. Salah satu masalah lain ada, ada sesetengah laluan ini, bila pemandunya tidak hadir, penggantinya itu banyak masalah.

Artikel Berkaitan:

"Pertamanya, mereka lambat, kadang-kadang tidak datang langsung, jadi automatik bila orang tunggu bas, bas tidak lalu. Itu yang berlaku," katanya.

Tambahnya, pihaknya juga menerima aduan terdapat pemandu bas tersebut yang enggan menyantuni penumpang selain bersikap kasar.

"Benda-benda macam ini sepatutnya tidak boleh berlaku. Macam penukaran laluan itu pula, ia perlu kerana setahun kerajaan negeri belanja RM23 juta," katanya.