PKRC ketujuh diwujudkan jika kes harian terus meningkat di Kelantan

Dr Mohd Azman (kanan) melihat persiapan akhir PKRC Kota Bharu yang keenam di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian pada Sabtu.
Dr Mohd Azman (kanan) melihat persiapan akhir PKRC Kota Bharu yang keenam di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) ketujuh di Kelantan akan dibuka sekiranya trend kes harian Covid-19 di negeri itu terus menunjukkan peningkatan.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, setakat ini lima PKRC sudah beroperasi di negeri itu manakala sebuah lagi akan beroperasi pada 3 Mei ini.

Beliau berkata, antara lokasi sedang dikenal pasti untuk dijadikan PKRC ketujuh adalah Dewan Kebudayaan dan Kesenian Negara di Tanjong Chat, Kompleks Balai Islam, Lundang dan juga Dewan Jubli Perak, Panji.

Katanya, pemilihan penempatan PKRC perlu berdekatan dengan lokasi hospital induk Covid-19 negeri di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan juga Hospital Tumpat.

“Setakat ini dari segi pemilihan penempatan PKRC kita buka adalah tidak jauh daripada hospital induk Covid-19 dan sekiranya pesakit kategori 1 dan 2 berubah kategori, kita akan hantar ke hospital induk COVID-19 yang berdekatan,” katanya kepada pemberita ketika meninjau PKRC Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian yang juga PKRC keenam di Kelantan, pada Sabtu.

Dr Mohd Azman berkata, PKRC Kampus Kesihatan USM itu adalah pusat terbaharu dan terbesar di Kelantan setakat ini yang berupaya menampung 500 pesakit lelaki.

Sementara itu, Dr Mohd Azman berkata, penggunaan kapasiti lima PKRC di negeri itu telah mencapai antara 70 hingga 100 peratus.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Azman berkata, keperluan PKRC agak tinggi di Kelantan kerana kediaman pesakit Covid-19 yang kebanyakannya tidak sesuai untuk menjalani Perintah Pengasingan Di Rumah (HIO).

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini kita kenalkan juga HIO untuk pesakit Covid-19 bagi kategori 1 dan 2 yang dibenarkan berada di rumah namun perlu mempunyai ruang sesuai di dalam rumah sepanjang menjalani tempoh kuarantin.

“Namun setakat ini kita dapati masih ramai yang tidak mempunyai ruang kediaman sesuai untuk menjalani kuarantin seperti bilik dan tandas berasingan selain mempunyai kanak-kanak dan warga emas di rumah mereka,” katanya. - Bernama