Padah jual salinan cetak rompak digital

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya di sebuah premis di Taman Danau Kota, Setapak pada Rabu.
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya di sebuah premis di Taman Danau Kota, Setapak pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua individu warga tempatan ditahan kerana disyaki menjual salinan cetak rompak digital dalam serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya di sebuah premis di Taman Danau Kota, Setapak pada Rabu.

Kedua-dua lelaki berusia di antara 19 dan 32 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah subseksyen 41(1) Akta Hak Cipta 1987 iaitu menjual apa-apa salinan langgaran melalui platform e-dagang yang dimuatkan ke dalam set pemain sistem karaoke.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, antara peralatan yang dirampas ialah set sistem KTV, pelbagai jenama cakera keras, pemacu peranti pelbagai jenama dan telefon bimbit dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM 25,000.

"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM 2,000 dan tidak lebih RM 20,000 bagi setiap salinan langgaran, atau penjara tidak lebih lima tahun," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, serbuan yang turut disertai wakil pemilik hak cipta adalah hasil risikan kira-kira dua minggu serta maklumat daripada wakil pemilik hak cipta.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya menjalankan serbuan di sebuah premis di Taman Danau Kota, Setapak pada Rabu.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya menjalankan serbuan di sebuah premis di Taman Danau Kota, Setapak pada Rabu.

Katanya, KPDNHEP turut merampas beberapa barang dalam milikan suspek.

Azman turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi atau mengedarkan karya hak cipta termasuk filem, lagu, buku berbentuk digital melalui sebarang medium internet termasuk media sosial dan platform e-dagang tanpa kebenaran pemilik hak cipta.

Artikel Berkaitan:

"Kementerian sentiasa memandang serius dan tidak akan berkompromi ke atas sebarang aktiviti berkaitan cetak rompak bagi melindungi karya hak cipta pihak industri muzik Malaysia.

"Pengguna juga disarankan menyalurkan maklumat kepada Kementerian ini dengan melaporkan sebarang kegiatan cetak rompak melalui hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau WhatsApp di talian 019-279 4317 atau di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau hadir ke pejabat KPDNHEP yang berhampiran.