'Mohon pertimbang rentas negeri kawasan hijau sempena Aidilfitri'

Ir Khairil Nizam
Ir Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas memohon pertimbangan agar rentas negeri sempena Hari Raya Aidilfitri dibenarkan untuk kawasan hijau.

Ketua Pemuda Pas, Senator Ir Khairil Nizam Khiruddin bagaimanapun berkata, dengan syarat individu berkenaan melakukan ujian calitan pengesanan Covid-19 tiga hari sebelum pulang.

Pada masa sama beliau meminta kerajaan untuk memperincikan pelaksanaan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) agar bersifat adil dan saksama mengikut undang-undang negara serta selaras dengan hukum Islam.

“Pihak kami sedar bahawa terlalu banyak keluhan dan aduan daripada rakyat berkenaan pelaksanaan penguatkuasaan SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan hari ini.

“Perkara paling hangat dibincangkan adalah berkenaan penguatkuasaan SOP dua darjat seperti kenyataan yang saya keluarkan beberapa hari yang lepas,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Menerusi hantarannya juga, Khairil Nizam yang merupakan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) turut memuat naik pertemuannya bersama Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz pada Jumaat.

Khairil Nizam berkata, beliau turut membangkitkan isu berkenaan SOP sewaktu di bazar Ramadan.

“Sekali gus mempertimbangkan nasib peniaga-peniaga kecil dan juga ibu ayah yang jadual bekerja padat serta tidak cukup masa untuk membuat persiapan berbuka puasa di rumah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Ikmal juga maklum terhadap perkara berkenaan dan berjanji membawa maklum balas itu kepada Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.