X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Perak beri jaminan bantu peniaga bazar Ramadan ditutup

Nolee Ashilin (tengah) pada sidang akhbar pada Sabtu.
A
A

IPOH - Kerajaan Perak memberi jaminan untuk membantu semua 30 peniaga bazar Ramadan Bazar Nenas Kampung Selabak di Teluk Intan yang perlu menutup operasi perniagaan susulan berlaku penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pengunjung sebagaimana arahan dikeluarkan kerajaan pada Jumaat.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, berdasarkan situasi semasa, kemungkinan besar semua peniaga terlibat tidak dapat meneruskan operasi perniagaan masing-masing sehingga akhir Ramadan.

"Setakat ini tiada jaminan bazar yang diarahkan tutup ini akan dibuka semula kerana kita sendiri pun tidak dimaklumkan berapa lama tempoh penutupan bazar berkenaan.

"Kemungkinan besar ditutup sehingga akhir Ramadan itu ada memandangkan kita pun sudah diakhir-akhir minggu Ramadan.

"Oleh itu di pihak kerajaan negeri, kita sedang berusaha dan menyediakan jenis-jenis bantuan yang boleh dihulurkan kepada 30 peniaga yang terlibat di situ," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Wanita Negeri Perak di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Sabtu.

Beliau berkata, maklumat yang diperoleh daripada Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) mendapati, semua peniaga akur dengan arahan penutupan itu yang bermula pada Sabtu (hari ini) sehinggalah ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Menurutnya, selari dengan penutupan itu, MPTI akan menjalankan kerja-kerja sanitasi di seluruh kawasan sebagai kawalan awal pencegahan penularan wabak.

"Jika ada yang memerlukan ujian Covid-19 dilakukan, maka kita serahkan kepada prosedur Kementerian Kesihatan (KKM) untuk jalani saringan kerana isu utamanya bukanlah disebabkan kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), tetapi susulan terdapat pengesanan kontak yang menunjukkan ada risiko tinggi untuk bergejala di kawasan itu yang dibawa oleh pengunjung bazar," katanya.

Nolee Ashilin turut menjelaskan bahawa operasi Bazar Ramadan di seluruh negeri adalah terkawal dengan pematuhan SOP yang baik.

Khatam Al-Quran anjuran Erat dengan kerjasama Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri itu disertai 250 peserta dari seluruh negeri.
Khatam Al-Quran anjuran Erat dengan kerjasama Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri itu disertai 250 peserta dari seluruh negeri.

"Adalah satu dua bazar yang kita keluarkan amaran, tetapi situasi itu telah diperbaiki dan kita tidak punya arahan lanjut untuk menutup operasi Bazar Ramadan yang lain, setakat ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Khatam Al-Quran boleh diketengahkan sebagai satu daripada pakej pelancongan Perak sepertimana Mosque Trail Tour dan Ibadah Korban yang ditawarkan negeri itu, sebelum ini.

Katanya, ia bukan sahaja platform dalam pembudayaan agama Islam, tetapi tarikan kepada negara-negara jiran yang menunjukkan minat tinggi untuk berkongsi kesatuan hati dalam memartabatkan Islam.

"Kita pernah buat pakej ibadah korban untuk saudara-saudara kita di Singapura dan ia mendapat sambutan sangat baik dan kita merasakan program khatam juga boleh jadi sumber untuk merancakkan pelancongan negeri," katanya.

Pada Jumaat, kerajaan mengarahkan operasi perniagaan di 22 bazar Ramadan di tujuh negeri di Semenanjung termasuk satu di Perak ditutup mulai selepas dikesan berlaku ancaman penularan Covid-19 hasil analisa pengesanan kontak yang dijalankan KKM melalui aplikasi MySejahtera.

Arahan itu diberikan kepada 12 pihak berkuasa tempatan di tujuh negeri berkenaan menerusi satu memo dikeluarkan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: 22 bazar Ramadan diarah tutup


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!